18,000 pemain muda bakal gegar Piala Maxim 2026

FOTO PIALA MAXIM

KUALA LUMPUR, 13 Februari – Seramai 18,000 pemain muda dari dalam dan luar negara dijangka menyertai saingan Piala Maxim dan Siri Maxim Elit 2026 yang akan berlangsung di lima lokasi utama seluruh negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • 18,000 pemain muda dijangka menyertai Piala Maxim dan Siri Maxim Elit 2026 dari dalam dan luar negara.
  • Kejohanan berlangsung di lima lokasi utama: Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Melaka dan Johor.
  • Lebih 1,500 pasukan bertanding dalam lapan kejohanan, merangkumi kategori bawah 6 hingga bawah 20 tahun lelaki dan perempuan.
  • Subway kekal penaja utama, menyokong melalui tajaan yuran, kit pasukan dan bantuan makanan kepada pasukan terpilih.

Kejohanan anjuran Maxim Events itu dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Langkawi, Melaka dan Johor, membabitkan lebih 1,500 pasukan menerusi lapan kejohanan sepanjang tahun.

Pertandingan meliputi kategori umur bawah enam hingga bawah 20 tahun bagi lelaki dan perempuan, sekali gus menjadikan platform tersebut antara kejohanan bola sepak remaja paling komprehensif di rantau ini.

Pengarah Maxim Events, Will Kucia berkata pengenalan kejohanan baharu di Melaka tahun ini menjadi langkah memperluas capaian serta meningkatkan penyertaan.

Menurut beliau, pihaknya teruja untuk terus mengembangkan platform berkenaan selepas menyaksikan peningkatan penyertaan dan penambahbaikan dari segi kualiti penganjuran pada edisi lalu.

“Tahun ini kami mahu memastikan lebih ramai pemain muda mendapat peluang beraksi dalam suasana kompetitif yang tersusun dan selamat,” katanya.

Dalam masa sama, kejohanan itu turut mendapat sokongan berterusan daripada Subway sebagai penaja utama bagi musim 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Subway Malaysia, Kon Kin Siong berkata pihaknya komited memperkasa pembangunan bola sepak akar umbi menerusi tajaan yuran penyertaan, penyediaan kit pasukan serta sokongan makanan kepada pasukan terpilih.

Siri kejohanan akan membuka tirai dengan Piala Maxim Kuala Lumpur pada 2 dan 3 Mei, diikuti Pulau Pinang (11 dan 12 Julai), Langkawi (17 hingga 19 Julai), Melaka (25 dan 26 Julai), Johor (7 hingga 9 Ogos dan 30 November hingga 1 Disember), Siri Maxim Elit Perempuan (27 hingga 29 November) serta Siri Maxim Elit Lelaki (4 hingga 6 Disember).

FOTO PIALA MAXIM