
KUALA LUMPUR, 9 November – Amaran hujan berterusan tahap buruk dikeluarkan bagi beberapa daerah di Kelantan dan Terengganu sehingga Rabu ini susulan luruan monsun yang dijangka membawa hujan lebat ke pantai timur Semenanjung.
- Daerah terlibat di Kelantan: Bachok, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
- Daerah terlibat di Terengganu: Besut, Setiu, Dungun, Kemaman, Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus.
- Orang ramai dinasihat mengikuti cuaca melalui laman MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial; pertanyaan talian 1-300-22-1638.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip memaklumkan, kawasan terlibat di Kelantan ialah Bachok, Kota Bharu, Tumpat, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
Di Terengganu, amaran sama melibatkan Besut, Setiu, Dungun, Kemaman, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Sementara itu, amaran hujan berterusan tahap waspada turut dikeluarkan bagi Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Jeli di Kelantan serta Hulu Terengganu.
Amaran sama melibatkan Kuantan, Pekan, Rompin dan Jerantut di Pahang, selain Kudat serta kawasan Paitan, Telupid, Beluran, Sandakan dan Kinabatangan di Sabah.
Amaran tahap waspada itu juga berkuat kuasa sehingga Rabu ini.
Orang ramai dinasihatkan mengikuti perkembangan cuaca terkini menerusi laman sesawang rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca dan saluran media sosial jabatan berkenaan.
Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan melalui talian 1-300-22-1638.