Melaka perkukuh kesiapsiagaan hadapi Monsun Timur Laut

Foto RTM

MELAKA, 8 November – Melaka mempertingkat kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) menerusi pemantauan banjir 24 jam, pengukuhan sistem amaran awal serta penyediaan aset kawalan banjir.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemantauan berterusan di enam lembangan sungai utama dan 102 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir.
  • Sistem amaran awal diperkukuh dengan pemasangan 14 siren dan 10 kamera pemantauan di lokasi strategik.
  • Operasi disokong oleh 21 rumah pam, 21 pintu kawalan air dan 14 pam kecemasan mudah alih.

Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pemantauan berterusan dilaksanakan di enam lembangan sungai utama, selain 102 lokasi dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir.

“Sehubungan itu, kerajaan negeri menerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Melaka akan sentiasa menyalurkan hebahan dari semasa ke semasa bagi memastikan amaran awal dapat disampaikan dan tindakan menghadapi kecemasan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

“Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan berisiko banjir, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mendapatkan maklumat terkini menerusi laman rasmi Kerajaan Negeri Melaka,” beliau berkata ketika melawat Bilik Gerakan Barisan Nasional di Kota Laksamana, di sini hari ini.

Dalam usaha memperkukuh sistem amaran awal, sebanyak 14 siren dan 10 kamera pemantauan turut dipasang di lokasi strategik.

Selain itu, kesiapsiagaan operasi turut disokong dengan penyediaan 21 rumah pam, 21 pintu kawalan air serta 14 pam kecemasan mudah alih yang boleh digerakkan ke kawasan kritikal.

Langkah berkenaan bertujuan memastikan tindakan kawalan dan pengurusan banjir dapat dilaksanakan dengan lebih pantas serta berkesan sepanjang tempoh Monsun Timur Laut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.