
FLORIDA, 3 November – Sebuah pesawat persendirian terhempas dan meletup berhampiran kawasan perumahan di Florida, Amerika Syarikat (AS), pada Ahad, mengorbankan kesemua sembilan individu di dalamnya.
- Rakaman papan pemuka menunjukkan Learjet 60 menjunam hampir menegak sebelum menghasilkan letupan besar dan asap hitam.
- Pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Austin-Bergstrom, Texas, dalam perjalanan ke Bahamas sebelum kejadian.
- Komunikasi dengan kawalan trafik udara menunjukkan juruterbang melaporkan gelora, pembentukan ais dan hujan pada ketinggian 35,000 kaki.
- NTSB dengan bantuan FAA menyiasat punca nahas manakala kira-kira 600 penduduk dipindahkan; Gabenor panggilnya nahas amat dahsyat.
Rakaman kamera papan pemuka menunjukkan pesawat jenis Learjet 60 itu menjunam hampir menegak sebelum merempuh kawasan tepi jalan dan menghasilkan letupan besar yang menghamburkan api serta asap hitam.
Nahas berlaku berhampiran Cresthaven di Palm Beach County kira-kira 12.50 tengah hari waktu tempatan, namun tidak melibatkan penduduk atau pengguna jalan raya di kawasan berkenaan.
Pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Austin-Bergstrom, Texas, menuju Bahamas sebelum kejadian berlaku.
Rakaman komunikasi dengan pengawal trafik udara menunjukkan juruterbang melaporkan keadaan gelora udara, pembentukan ais dan hujan ketika berada pada ketinggian kira-kira 35,000 kaki.
Kru pesawat turut meminta kebenaran untuk terbang lebih tinggi sebelum pesawat tiba-tiba menjunam dan mengisytiharkan kecemasan.
Gabenor Florida, Ron DeSantis menyifatkan kejadian itu sebagai nahas pesawat yang amat dahsyat dan berkata pesawat berkenaan kelihatan seperti peluru berpandu ketika menjunam sebelum hancur dan meninggalkan kawah besar di lokasi kejadian.
Kira-kira 600 penduduk dari sebuah kawasan perumahan berhampiran dipindahkan sebagai langkah keselamatan ketika pasukan kecemasan mengawal lokasi nahas.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dengan bantuan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca nahas. – VIORY