Tarif elektrik bersasar, pendekatan ‘user pay basis’ diteliti

Datuk Seri Fadillah Yusof / RTM

KUALA LUMPUR, 15 Oktober- Kerajaan sedang meneliti struktur tarif elektrik yang lebih bersasar termasuk pendekatan berasaskan penggunaan atau user pay basis bagi memastikan pembahagian kos bekalan tenaga lebih adil antara pengguna domestik dengan sektor industri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Datuk Seri Fadillah Yusof, juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, memberi penjelasan di Dewan Rakyat.
  • Kerajaan menilai kemampuan isi rumah susulan peningkatan kos penjanaan akibat lonjakan harga bahan api global.
  • Langkah perlindungan bil elektrik dilaksanakan untuk isi rumah tertentu bagi mengurangkan beban pengguna.
  • Perlindungan meliputi penggunaan sehingga 800 kilowatt-jam sebulan, berkuat kuasa 1 September hingga 31 Disember 2026.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pendekatan itu antara perkara yang dipertimbangkan, khususnya bagi pengguna yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar termasuk pusat data dan industri.

“Salah satu yang kita nak perkenalkan ialah user pay basis. Maknanya, sesiapa yang menggunakan lebih, dia kena bayar lebih, terutamanya yang menggunakan tenaga dalam jumlah besar, termasuk pusat data, industri yang banyak menggunakan tenaga dan sebagainya.

“Pada masa yang sama, supaya kita dapat membahagikan kadar untuk pengguna domestik yang berlainan daripada kadar industri dan sebagainya. Ini untuk melindungi pengguna supaya lebih adil dan saksama,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, kerajaan turut meneliti kemampuan isi rumah susulan peningkatan kos penjanaan elektrik berikutan lonjakan harga bahan api global.

Bagi mengurangkan beban pengguna, perlindungan bil elektrik bagi isi rumah dengan penggunaan sehingga 800 kilowatt-jam sebulan dilaksanakan dari 1 September hingga 31 Disember 2026.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.