Ab Ghani terus kendali MFL sementara tunggu presiden baharu

Presiden FAM, Datuk Ab Ghani Hassan / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Oktober – Datuk Ab Ghani Hassan masih mengendalikan operasi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sementara menunggu pelantikan presiden baharu dimuktamadkan bagi memastikan perjalanan Liga Malaysia (Liga M) terus berjalan lancar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ahli Lembaga Pengarah MFL sedang mengurus pelantikan presiden baharu; pengumuman rasmi akan dibuat apabila mereka bersedia.
  • Ab Ghani menyatakan hasrat melepaskan jawatan Presiden MFL selepas dipilih sebagai Presiden FAM pada 17 September.
  • Beliau tidak mahu memegang kedua-dua jawatan lama supaya boleh tumpukan kepada pengukuhan tadbir urus FAM dan pembaharuan pentadbiran.
  • Peralihan kepimpinan perlu dilaksanakan secara teratur bagi memastikan pengurusan pertandingan dan urusan pentadbiran liga terus lancar.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, terdapat perkembangan di peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL berhubung pelantikan itu, namun pengumuman rasmi hanya akan dibuat apabila pihak berkenaan bersedia.

“Ada perkembangan di peringkat Ahli Lembaga Pengarah dan mereka akan memaklumkan sekiranya bersedia mengumumkan siapa presiden MFL.

“Buat masa ini, saya masih mengendalikan MFL bagi memastikan operasi harian dan bulanan berjalan dengan baik dan lancar kerana tandatangan saya masih diperlukan untuk urusan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada perlawanan akhir Piala Emas Raja-Raja (PERR) 2026 di Arena Universiti Malaya.

Datuk Ab Ghani sebelum ini menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan Presiden MFL selepas dipilih menerajui FAM pada 17 September lalu, bagi membolehkannya memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab di badan induk bola sepak negara.

Beliau turut menegaskan tidak mahu memegang kedua-dua jawatan itu untuk tempoh yang lama, terutama ketika FAM perlu memperkukuh tadbir urus dan melaksanakan pembaharuan dalam pentadbiran bola sepak negara.

Bagaimanapun, peralihan kepimpinan MFL perlu dilaksanakan secara teratur bagi memastikan operasi liga domestik, termasuk pengurusan pertandingan dan urusan pentadbiran, terus berjalan lancar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.