Piala Asia 2027: Football Australia pantau situasi keselamatan di Arab Saudi

Football Australia

SYDNEY, 13 Oktober – Football Australia memaklumkan pihaknya sedang memantau rapat situasi keselamatan di Arab Saudi, yang bakal menjadi tuan rumah Piala Asia 2027, susulan beberapa serangan oleh kumpulan Houthi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Arab Saudi berdepan siri serangan terhadap kemudahan minyak, kapal tangki, hab pengangkutan dan lapangan terbang Riyadh.
  • Football Australia utamakan keselamatan pemain, kakitangan dan penyokong; pasukan keselamatan berpengalaman melakukan penilaian risiko dan pemantauan berkala.
  • Badan itu berhubung dengan AFC mengenai perancangan; Piala Asia bermula 7 Januari di Riyadh, Jeddah dan Al Khobar.

Perkembangan itu menyusul penangguhan selama sejam perlawanan Liga Juara Asia membabitkan kelab Al Nassr yang dibarisi Cristiano Ronaldo pada Isnin, selepas pakatan tentera diketuai Arab Saudi memaklumkan pihaknya memintas peluru berpandu yang dilancarkan Houthi ke arah Riyadh.

Arab Saudi, yang dijadual menjadi tuan rumah kejohanan bola sepak utama Asia itu pada Januari dan Februari depan, kebelakangan ini berdepan beberapa siri serangan kumpulan berkenaan, termasuk serangan terhadap kemudahan minyak, kapal tangki dan hab pengangkutan.

Lapangan terbang antarabangsa Riyadh turut menjadi sasaran serangan maut.

Dengan sepak mula Piala Asia yang membabitkan 24 pasukan itu kurang tiga bulan lagi, Football Australia berkata pihaknya memantau rapat situasi di Arab Saudi.

“Keselamatan dan kesejahteraan pemain, kakitangan serta penyokong kami kekal menjadi keutamaan,” kata jurucakap badan itu kepada AFP.

“Pasukan keselamatan kami yang berpengalaman sedang memantau perkembangan secara aktif dan memberikan maklumat terkini secara berkala.

“Penilaian risiko merupakan sebahagian daripada perancangan bagi setiap kem latihan pasukan kebangsaan dan perkara itu akan menjadi fokus utama persiapan kami menjelang Januari,” katanya.

Jurucakap itu berkata, pihak berkuasa bola sepak Australia turut berhubung dengan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung perancangan badan itu bagi kejohanan berkenaan.

Piala Asia dijadual bermula pada 7 Januari, dengan perlawanan berlangsung di Riyadh, Jeddah dan Al Khobar. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.