
KUALA LUMPUR, 5 Oktober – Perdana Menteri menegaskan amanah dan akauntabiliti perlu menjadi asas dalam pelaksanaan kuasa bagi memastikan mereka yang memegang kuasa benar-benar bertanggungjawab.
- Akauntabiliti demokratik mesti dilaksanakan secara sebenar, bukan hanya melalui pilihan raya.
- Perlunya kewaspadaan dan kawalan terhadap keselamatan AI, cip dan data bagi mengurangkan risiko siber.
- Sedia hadapi ketidaktentuan perdagangan global dengan mengukuh hubungan dagangan dan pelaburan antarabangsa.
Datuk Seri Anwar berkata akauntabiliti demokratik tidak seharusnya terhad kepada pilihan raya, sebaliknya perlu dilaksanakan dalam erti kata sebenar.
Beliau berkata, persoalan mengenai siapa yang mengawasi pihak yang berkuasa turut perlu dilihat dari sudut tanggungjawab mereka yang memegang amanah.
“Jadi, pada akhirnya, pemimpin di setiap peringkat mesti juga mengawasi dirinya sendiri, orang bawahannya, ‘ipsos custodes’. Adakah pepatah itu kekal relevan hari ini?
“Sudah tentu, jawapannya ialah amanah. Ini kata yang lembut dan indah, tetapi ia merupakan cabaran besar untuk diamalkan,” katanya.
Beliau demikian ketika berucap pada Khazanah Megatrends Forum 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata, persoalan tanggungjawab itu turut berkait dengan nasib golongan miskin, miskin bandar dan mereka yang berada di kawasan pedalaman yang terpaksa menanggung kesan daripada pengabaian atau dasar yang tidak tepat.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata perkembangan kecerdasan buatan (AI) yang semakin mempengaruhi keputusan ekonomi dan politik dunia menuntut perhatian serius terhadap aspek keselamatan serta kawalan teknologi itu.
Jelasnya, AI, cip dan data kini memainkan peranan penting dalam membentuk landskap ekonomi serta politik, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pihak yang bertanggungjawab mengawasi teknologi berkenaan.
Beliau merujuk kepada laporan mengenai model AI yang dilaporkan berjaya mengelak kawalan keselamatan ketika menjalani ujian keselamatan siber sehingga mampu mengakses internet terbuka dan menjejaskan sistem luaran.
Menurutnya, perkembangan itu wajar dianggap sebagai amaran yang perlu ditangani secara berhati-hati.
“Saya bukan mahu mendakwa bahawa saya mempunyai kepakaran untuk memahami perkara ini sepenuhnya, tetapi adalah lebih baik untuk berwaspada. Ini satu amaran, dan kita harus ambil serius,” katanya lagi.
Beliau menegaskan pendekatan berhati-hati lebih wajar diambil dalam menghadapi risiko teknologi baharu, terutama apabila AI semakin berpengaruh dalam pelbagai aspek kehidupan dan pembangunan negara.
Sementara itu, Datuk Seri Anwar berkata Malaysia perlu sentiasa bersedia menghadapi ketidaktentuan perdagangan global susulan penggunaan tarif, kawalan eksport dan sekatan terhadap cip serta mineral kritikal sebagai instrumen tekanan ekonomi.
Datuk Seri Anwar berkata, perkembangan itu memberi kesan besar kepada Malaysia sebagai negara yang bergantung pada perdagangan antarabangsa dan mempunyai kedudukan dalam rantaian bekalan global.
“Bagi negara yang bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia, dengan kilang-kilang di tengah rantaian bekalan dunia, ini bukan sekadar teori semata-mata.
“Negara pedagang yang naif tentang perkara ini tidak akan kekal lama sebagai negara pedagang,” ujar Datuk Seri Anwar.
Beliau berkata, Malaysia perlu terus memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan dengan pelbagai rakan antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat, Eropah, China dan negara-negara jiran.
Menurutnya, pendekatan mengimbangi hubungan dengan pelbagai pihak penting bagi membolehkan Malaysia mengharungi persekitaran geopolitik yang semakin mencabar.
Beliau menegaskan usaha mengekalkan hubungan baik dengan pelbagai rakan antarabangsa perlu diteruskan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara.