
KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Sebanyak tujuh kertas kerja akan dibincangkan pada Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-43 yang menghimpunkan hampir 200 ilmuwan Islam bagi meneliti isu fiqh haji serta keperluan semasa bakal jemaah bagi musim 1448H/2027M.
- Resolusi muzakarah jadi panduan untuk memperkukuh ekosistem bimbingan haji negara dan penyampaian ilmu kepada bakal jemaah.
- Muzakarah memberi panduan fiqh kontemporari, membantu dhuyufurrah menyesuaikan amalan dengan perubahan dan realiti semasa.
- Topik perbincangan termasuk falsafah haji dalam keselesaan moden, analisis hukum berhutang, dan permasalahan hukum musim haji.
- Dilancarkan E-Book Prosiding Haji Digital yang menghimpunkan 65 kertas kerja dalam tiga jilid sebagai rujukan ilmiah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, resolusi muzakarah berkenaan akan menjadi panduan dalam memperkukuh ekosistem bimbingan haji negara serta penyampaian ilmu kepada bakal jemaah.
“Alhamdulillah, kita menyaksikan bagaimana Muzakarah Haji Kebangsaan ini telah memberikan panduan dan bimbingan kepada para dhuyufurrahman, terutamanya dalam permasalahan dan isu fiqh kontemporari.
“Ini bermakna kita sentiasa beradaptasi dengan perubahan dan realiti,” katanya selepas merasmikan Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan ke-43 yang bertemakan ‘Menuju Istito’ah: Membina Kemampuan, Menyempurnakan Pengabdian’ di Kuala Lumpur.
Antara persoalan hukum yang menjadi tumpuan perbincangan ialah Penghayatan Falsafah Haji dalam Konteks Keselesaan Moden, Analisis Hukum Berhutang Menurut Perspektif Fiqh dan Permasalahan Hukum Musim Haji 1447H.
Muzakarah berkenaan turut membincangkan isu berkaitan keperluan dan cabaran semasa yang dihadapi bakal jemaah bagi memastikan panduan ibadah haji sentiasa relevan dengan perubahan semasa.
Pada majlis sama, turut dilancarkan E-Book Prosiding Haji Digital yang menghimpunkan 65 kertas kerja dalam tiga jilid terbitan.