
ROMPIN, 29 September – Mayat wanita warga emas Orang Asli yang dilaporkan hilang selepas keluar memancing seorang diri di Kampung Lesong, Kedaik, di sini, Rabu lalu, ditemukan dalam kawasan paya pagi tadi.
- Mayat Kuang Poh, 73, ditemukan kira-kira 11.50 pagi, kira-kira 500 meter dari lokasi dilapor hilang.
- Mayat dikeluarkan kira-kira 1.05 tengah hari dan dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rompin.
- Operasi SAR hari keenam melibatkan 43 anggota daripada pelbagai agensi dan ditamatkan kira-kira 2 petang.
- Aset terlibat termasuk Unit Dron IPD Rompin dan Unit Anjing Pengesan (K9) IPK Pahang; siasatan lanjut sedang dijalankan.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi berkata, mayat Kuang Poh, 73 tahun, ditemukan kira-kira 11.50 pagi, pada jarak sekitar 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Mayat mangsa ditemukan dalam kawasan paya sebelum dibawa keluar dari lokasi kira-kira 1.05 tengah hari.
“Mayat kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Rompin untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari keenam itu melibatkan 43 anggota daripada pelbagai agensi.
Katanya, antara aset dan pasukan yang terbabit termasuk Unit Dron Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin serta Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.
Operasi SAR ditamatkan kira-kira 2 petang selepas mayat mangsa berjaya ditemukan dan dibawa keluar dari kawasan pencarian.
Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang selepas keluar memancing seorang diri di kawasan berkenaan kira-kira 3 petang Rabu lalu.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.