
GUNUNG JERAI, 28 September – Pelumba Jerman Lennart Jasch mencipta sejarah apabila muncul juara Peringkat Kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026 yang buat julung kalinya berakhir di puncak Gunung Jerai hari ini.
- Lennart Jasch mencatat masa 3 jam 37 minit 21 saat bagi perlumbaan 145.6 km dari Taiping.
- Kemenangan membolehkan Jasch merampas Jersi Jingga sebagai pendahulu keseluruhan daripada Matteo Malucelli.
- Jasch juga memenangi Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit selepas pendakian cemerlang di Gunung Jerai.
- Abel Balderstone kedua, Jan Castellon ketiga; Malucelli kekal Jersi Biru; Yuhi Todome Jersi Putih dan Pelumba Terbaik Asia; Kee Zhe Yie Pelumba Terbaik Malaysia.
Pelumba Tudor Pro Cycling Team berusia 25 tahun itu mencatat masa 3 jam 37 minit 21 saat bagi perlumbaan sejauh 145.6 kilometer dari Taiping.
Kemenangan itu membolehkan Jasch merampas Jersi Jingga selaku pendahulu keseluruhan daripada Matteo Malucelli (XDS Astana Team), yang memenangi Peringkat Pertama.
Abel Balderstone menduduki tempat kedua dengan masa 3:37:37, manakala rakan sepasukannya, Jan Castellon, ketiga dengan 3:37:53.
Jasch turut meraih Jersi Polka Dot selaku Raja Bukit hasil pendakian cemerlang di Gunung Jerai.
Malucelli mengekalkan Jersi Biru, manakala pelumba Aisan Racing Team, Yuhi Todome, kekal sebagai Pelumba Terbaik Asia dan menyarung Jersi Putih.
Kee Zhe Yie dari Terengganu Cycling Team pula dinobatkan Pelumba Terbaik Malaysia.
Peringkat Ketiga esok menyaksikan peloton menempuh jarak 189.7 kilometer dari Sungai Petani ke Kuala Kangsar, dengan tiga zon pecutan di Kuala Ketil, Lawin dan Sauk.