
KUALA LUMPUR, 27 September – Pengenalan push bike sebagai sukan baharu dalam jelajah promosi Sukan SEA 2027 membuka peluang untuk sukan itu dipertandingkan pada temasya berkenaan sekali gus berpeluang menjadi antara penyumbang pingat buat negara.
- Pencapaian pelumba cilik positif, termasuk Faiha Nurlaila juara Phatthalung Championship 2026 dan Mikael Kenobi La Harza naib juara Pandora RSR World Cup 2026.
- Latihan hampir setiap hari di bawah jurulatih berkelayakan tahap dua meningkatkan prestasi dan persediaan pelumba.
- PKBM menyokong pembangunan melalui penglibatan empat wakil Malaysia dalam kejohanan ASEAN Balance Bike di Bangkok.
- Cadangan meluaskan had umur pertandingan dari sembilan tahun ke bawah kepada kategori sehingga umur 15 tahun.
Pengurus Pasukan Adda Cycle Pro Team, Mohd Salmi Hassan berkata sekiranya push bike diiktiraf sebagai acara Sukan SEA, pihaknya bersedia melakukan persiapan dari segi pemilihan pelumba bagi mewakili negara.
“Saya berharap usaha ini dapat merealisasikan harapan ibu bapa melihat anak-anak mereka lebih bersedia dan berpeluang terpilih mewakili Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita selepas bersiaran dalam program Selamat Pagi Malaysia, di sini, hari ini.
Beliau berkata perkembangan sukan berkenaan di Malaysia semakin positif berdasarkan pencapaian pelumba cilik negara dalam beberapa kejohanan antarabangsa, termasuk di Thailand baru-baru ini.
Antara pencapaian itu ialah Faiha Nurlaila yang muncul juara Phatthalung Championship 2026, manakala Mikael Kenobi La Harza muncul naib juara Pandora RSR World Cup 2026 di Thailand.
Beliau berkata kejayaan berkenaan turut disokong persiapan rapi pasukan menerusi latihan hampir setiap hari di bawah kendalian jurulatih berkelayakan.
“Jurulatih kami memiliki kelayakan tahap dua dan banyak membantu meningkatkan prestasi dalam sukan ini, selain merancang latihan yang lebih kerap hampir setiap hari bagi memastikan persediaan pelumba berada pada tahap terbaik,” katanya.
Tambah beliau, pembangunan sukan tersebut turut mendapat sokongan Badan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menerusi penglibatan empat wakil negara dalam kejohanan ASEAN Balance Bike di Bangkok, baru-baru ini.
Dalam pada itu, beliau berharap had umur penyertaan pertandingan push bike di Malaysia dapat diperluas bagi menyediakan lebih banyak peluang kepada pelumba muda untuk terus berkembang sebelum melangkah ke peringkat lebih tinggi.
Beliau berkata pertandingan push bike di Malaysia ketika ini terhad kepada peserta berumur sembilan tahun ke bawah, berbanding Thailand yang menawarkan kategori penyertaan sehingga usia 15 tahun.