STOLport Bebuling catat penerbangan percubaan kedua

Foto RTM

BETONG, 25 September – Lapangan Terbang Baharu Bebuling di Spaoh, Betong mencatat perkembangan penting menerusi penerbangan percubaan kedua yang disaksikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penerbangan percubaan kedua dijalankan secara berperingkat untuk menilai aspek teknikal, operasi dan kesiapsiagaan sebelum operasi penuh.
  • Kemudahan STOLport lengkap dengan landasan 1,190 meter, taxiway, apron, terminal, menara kawalan, helipad dan perkhidmatan AFRS.
  • Akses udara diperbaiki dijangka meningkatkan penghantaran hasil, sokong sektor agro, pelancongan serta merangsang aktiviti perniagaan dan peluang pekerjaan.

Penerbangan percubaan kedua itu susulan penerbangan pertama pada 18 September lalu, membabitkan pesawat Super King 300, 9M-WSD.

Pelaksanaan penerbangan percubaan secara berperingkat bertujuan menilai aspek teknikal, operasi dan kesiapsiagaan kemudahan sebelum STOLport Bebuling beroperasi sepenuhnya.

Kemudahan lapangan terbang berlepas dan mendarat jarak pendek (STOL) itu dilengkapi landasan sepanjang 1,190 meter, taxiway, apron, terminal, menara kawalan, helipad serta perkhidmatan penyelamatan dan pemadaman kebakaran pesawat (AFRS).

STOLport Bebuling dijangka memperkukuh kesalinghubungan Betong, khususnya dalam pergerakan penumpang dan penghantaran barangan tempatan ke pasaran lebih luas.

Kemudahan itu turut berpotensi menyokong sektor agro dan rantaian bekalan makanan menerusi kewujudan Agro Park serta Pusat Pengumpulan, Pembungkusan dan Pemprosesan (CPPC).

Akses udara yang lebih baik dijangka memudahkan hasil pertanian dari kawasan luar bandar dihantar dengan lebih pantas, sekali gus meningkatkan kecekapan pemasaran serta memberi nilai tambah kepada petani dan pengusaha tempatan.

Dalam masa sama, jaringan udara itu berpotensi merancakkan sektor pelancongan Betong, termasuk ekopelancongan serta produk budaya dan warisan seperti Bukit Sadok dan Batang Ai.

Peningkatan akses pengangkutan juga dijangka merangsang aktiviti perniagaan, menarik pelaburan baharu serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan kepada masyarakat luar bandar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.