
KUALA LUMPUR, 24 September – Sebanyak 88 peratus pengguna Malaysia kini lebih berhati-hati dalam berbelanja, susulan tekanan kos dan perubahan keadaan ekonomi semasa.
- Pengguna menyesuaikan perbelanjaan, dipengaruhi kenaikan harga makanan, kos bahan api dan bil isi rumah.
- Sebahagian pengguna mencari pendapatan tambahan dan meningkatkan simpanan sebagai tindak balas terhadap tekanan kewangan.
- Perniagaan menumpukan peluang domestik, mengekalkan disiplin operasi dan pengambilan pekerja secara terpilih.
Dapatan itu berdasarkan Tinjauan Pengguna dan Perniagaan ASEAN 2026: The Great Restructuring yang melibatkan perniagaan dan pengguna di enam pasaran ASEAN.
Kajian itu merekodkan 64 peratus menyatakan harga makanan antara faktor yang mempengaruhi perbelanjaan, diikuti kos bahan api dan pengangkutan (46 peratus) serta bil isi rumah (38 peratus).
Sementara itu, 54 peratus pengguna sedang mencari sumber pendapatan tambahan, manakala 41 peratus meningkatkan simpanan.
Bagi sektor perniagaan pula, 75 peratus perniagaan di Malaysia menganggap pasaran domestik sebagai peluang pertumbuhan utama, sekali gus mencatat kadar tertinggi dalam pasaran ASEAN.
Faktor itu susulan perniagaan Malaysia mengambil pendekatan lebih berhati-hati dalam pengambilan pekerja dan pelaburan.
Sebanyak 36 peratus perniagaan memilih untuk mengambil pekerja secara terpilih, manakala 7 peratus meningkatkan jumlah pekerja.
Dari segi pelaburan, 16 peratus perniagaan meningkatkan pelaburan, sementara 46 peratus mengekalkan tahap pelaburan sedia ada.
Pengurus Negara Reeracoen Malaysia, Yohei Yagi, berkata majikan masih mengambil pekerja bagi jawatan penting, namun keputusan pengambilan dibuat berdasarkan keperluan perniagaan jangka panjang.
“Syarikat yang terus meningkatkan kecekapan operasi dan pada masa sama melabur dalam keupayaan yang diperlukan untuk berkembang akan lebih bersedia memanfaatkan peluang apabila keadaan pasaran berubah,” katanya.
Pengarah Negara Malaysia dan Thailand, Rakuten Insight, Collin Leow, berkata penemuan itu menunjukkan perniagaan dan pengguna Malaysia sedang menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan ekonomi.
“Perniagaan memberikan penekanan lebih besar terhadap peluang domestik dan disiplin operasi, manakala pengguna menyesuaikan perbelanjaan dan keutamaan kewangan,” katanya.