Jurulatih dipecat komen seksis terhadap pengadil wanita

Federico Higuaín, yang pernah menyarung jersi Inter Miami, ketika beraksi menentang Chicago Fire FC dalam saingan MLS pada 22 Mei 2021/ AFP

LOS ANGELES, 23 September- Kelab Major League Soccer (MLS), Columbus Crew, memecat jurulatih pasukan simpanan, Federico Higuain, selepas beliau didakwa mengeluarkan ungkapan berunsur seksis “jangan lupa, ini permainan lelaki” kepada seorang pengadil wanita sambil enggan melepaskan tangannya selepas bersalaman.

RINGKASAN BERITA AI
  • Columbus Crew memecat jurulatih pasukan simpanan, Federico Higuaín, selepas didakwa mengeluarkan komen seksis kepada pengadil wanita dan menahan tangan semasa bersalaman.
  • Beliau menerima kad merah dan digantung dua perlawanan susulan insiden itu.
  • PSRA mengutuk tindakan itu, mendakwa komen bersifat seksis serta menggesa hukuman lebih berat daripada penggantungan dua perlawanan.

Insiden itu berlaku selepas perlawanan MLS NEXT Pro antara Columbus Crew 2 dan Huntsville City FC pada 23 Ogos.

Higuaín, yang juga bekas pemain kelab itu, sebelum ini menerima kad merah dan penggantungan dua perlawanan susulan insiden berkenaan.

Namun pada Selasa, Pengurus Besar Columbus Crew, Issa Tall mengumumkan keputusan kelab yang memutuskan untuk menamatkan tugas Higuain selepas menilai semula tindakannya sepanjang sebulan lalu.

“Kami menentukan bahawa adalah demi kepentingan terbaik kelab, pemain dan kakitangan sokongan untuk menamatkan tugas Federico Higuaín,” katanya.

Menurut Persatuan Pengadil Bola Sepak Profesional (PSRA), Higuain melakukan dua tindakan fizikal yang disengajakan terhadap pengadil wanita berkenaan dengan memicit tangannya dan enggan melepaskannya walaupun sudah diminta berbuat demikian sebanyak tiga kali.

PSRA turut menyifatkan komen Higuain sebagai berunsur seksis dan mengkritik penggantungan dua perlawanan yang dikenakan terhadapnya sebagai tidak memadai, selain menggesa hukuman sekurang-kurangnya enam perlawanan.

“Wanita menjadikan setiap peringkat permainan ini lebih baik. Mereka tidak sepatutnya berdepan intimidasi atau komen yang merendahkan untuk membuktikan kemampuan mereka,” menurut  kenyataan PSRA. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.