
KOTA BHARU, 22 September – Pengurus pelaburan sebuah syarikat yang juga seorang ibu tunggal, mengalami kerugian sebanyak RM1.2 juta selepas diperdaya sindiket penipuan pada Julai lalu.
- Mangsa menerima panggilan individu menyamar sebagai pihak berkuasa, mendakwa dia terbabit penggubahan wang haram dan kes pecah amanah.
- Mangsa panik dan mengikuti arahan suspek, menyebabkan kehilangan wang serta kerugian besar.
- Beliau hanya membuat laporan polis dua minggu lalu setelah mengambil masa sekitar dua bulan, tanpa memberitahu saudara-mara.
- Polis telah kenal pasti beberapa individu dipercayai terlibat dan memohon bantuan Bukit Aman untuk mengesan suspek.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusuff Mamat berkata, mangsa menerima panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pihak berkuasa dan memaklumkan dia terbabit kegiatan penggubahan wang haram dan kes pecah amanah.
Menurutnya, mangsa yang panik kemudian mengikuti arahan suspek sehingga mengalami kerugian berkenaan.
Mangsa bagaimanapun hanya membuat laporan polis dua minggu lalu.
“Padahal dia tidak terlibat dalam perkara itu. Disebabkan terlalu takut, mangsa mengambil masa sehingga dua bulan untuk membuat laporan polis dan tidak berkongsi perkara tersebut dengan saudara-mara.
“Wang dalam akaunnya habis, malah dia turut mengeluarkan wang sehingga terpaksa menggadaikan barang kemas bernilai RM500,000”, katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Yusuff berkata, susulan laporan diterima, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa individu yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
Katanya, pihaknya juga meminta bantuan Bukit Aman untuk mengesan suspek.