
KUALA LUMPUR, 21 September – Penggunaan kecerdasan buatan (AI) berperanan sebagai paltform sokongan pelaksanaan audit dalaman, namun tidak menghapuskan keperluan terhadap juruaudit manusia dalam memastikan proses dan keputusan organisasi kekal tertakluk kepada semakan serta akauntabiliti.
- Juruaudit perlu menyesuaikan pendekatan kerja dan mempelajari kemahiran baharu termasuk analitik data serta teknologi maklumat.
- AI membantu juruaudit menganalisis data dengan lebih pantas dan menyeluruh serta membandingkan SOP dengan pelaksanaan sebenar.
- Pengawasan manusia mesti dikekalkan untuk meneliti hasil AI dan mengelakkan keputusan berasaskan maklumat tidak tepat.
- IIAM memperkukuh kemahiran juruaudit melalui latihan AI, keselamatan siber, ESG dan pensijilan CIA bagi menghadapi risiko kompleks.
Naib Presiden Institut Juruaudit Dalaman Malaysia (IIAM), Amran Mohamad berkata, perkembangan AI menuntut juruaudit menyesuaikan pendekatan kerja dan mempelajari kemahiran baharu, termasuk dalam bidang analitik data serta teknologi maklumat.
AI boleh membantu juruaudit menganalisis data dengan lebih pantas dan menyeluruh, termasuk membandingkan keperluan prosedur operasi standard (SOP) dengan pelaksanaan sebenar dalam sistem.
“Kita masih memerlukan audit dalaman kerana ia sangat penting. Tetapi cara audit dilaksanakan sudah berbeza dan apabila kaedahnya berubah, kita perlu mempelajari perkara-perkara baharu.
“Inilah transformasi yang sedang kita lakukan dalam bidang ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Institute Internal Audit Malaysia National Conference (IIAMNC) 2026 di ibu negara, hari ini.
Mengulas berkenaan risiko AI, juruaudit perlu mengikuti perkembangan penggunaannya, bagi mengelakkan keputusan yang memberi kesan secara langsung kepada pelanggan, termasuk risiko menghasilkan maklumat tidak tepat.
Sehubungan itu pengawasan manusia perlu dikekalkan bagi memastikan hasil AI diteliti sebelum digunakan sebagai asas membuat keputusan.
“Yang paling penting ialah kembali kepada prinsip human in the loop. Kita perlu memastikan hasil AI benar-benar memberikan dapatan yang dikehendaki,” katanya.
Dalam pada itu, IIAM terus memperkukuh kemahiran juruaudit menerusi latihan berkaitan AI, keselamatan siber dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), selain pensijilan Juruaudit Dalaman Bertauliah (CIA)yang kini dimiliki hampir 900 juruaudit di Malaysia.
Usaha berkenaan penting bagi memastikan juruaudit sentiasa mengikuti perkembangan risiko dan mempunyai kemahiran yang diperlukan selari dengan perubahan teknologi.
Perkara itu turut diketengahkan dalam sesi panel Governance Under Pressure: Accountability, Transparency & Public Trust sempena IIAMNC 2026, yang membincangkan cabaran tadbir urus susulan perkembangan AI dan risiko yang semakin kompleks.