
KUALA LUMPUR, 21 September – Eksport Malaysia bagi lapan bulan pertama tahun 2026 terus mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 31.2 peratus, mencecah RM1.356 trilion berbanding RM1.033 trilion dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
- Eksport ke 40 negara termasuk AS, Perancis dan Ireland melepasi jumlah keseluruhan eksport sepanjang 2025.
- Penembusan pasaran bukan tradisional meningkat, dengan lonjakan ketara di Namibia, Angola, Ethiopia dan negara BRICS seperti China dan India.
- Diversifikasi produk menunjukkan pertumbuhan merentas sektor termasuk optik, petroleum, jentera, LNG serta sumbangan ketara PMKS; MATRADE terus giatkan promosi seperti MIHAS.
Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan memaklumkan, eksport ke 40 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Ireland dalam tempoh berkenaan telah melepasi keseluruhan nilai eksport yang direkodkan sepanjang 2025.
“Eksport ke pasaran membangun turut mencatatkan pertumbuhan ketara, antaranya Namibia yang melonjak 430.6 peratus.
“Ia diikuti Angola sebanyak 215.4 peratus, Tanzania (50.2 peratus), Ethiopia (51.2 peratus) dan Bangladesh (20.2 peratus),” menurut kenyataan itu.
Dalam kalangan blok ekonomi pula, eksport ke negara anggota BRICS berkembang 19.1 peratus kepada RM251.47 bilion, dengan pertumbuhan dua digit direkodkan di China sebanyak 23.7 peratus, India (23.4 peratus), Brazil (27.5 peratus) dan Afrika Selatan (43.4 peratus).
Menurut MATRADE eksport ke Ethiopia juga telah melepasi keseluruhan nilai eksport yang direkodkan sepanjang 2025, mencerminkan peningkatan penembusan pasaran serta potensi pasaran bukan tradisional dalam menyokong usaha kepelbagaian eksport Malaysia.
Dari segi produk, pertumbuhan eksport turut merentasi pelbagai industri dengan peralatan optik dan saintifik meningkat 37.6 peratus.
Ia diikuti produk petroleum sebanyak 26.6 peratus, barangan keluaran logam (21.6 peratus), jentera, kelengkapan dan peralatan (18.4 peratus) serta gas asli cecair (LNG) sebanyak 17.2 peratus.
Pertumbuhan berkenaan turut melangkaui sektor elektrik dan elektronik (E&E), manakala produk berasaskan minyak sawit mencatat pertumbuhan kukuh, khususnya oleokimia yang meningkat 12.6 peratus.
Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia turut memberi sumbangan ketara kepada perkembangan segmen eksport berkenaan.
Prestasi itu sekali gus menegaskan peranan PMKS dalam memperkukuh eksport bernilai tambah dan berasaskan hiliran, selain memperluas asas eksport negara melangkaui produk E&E.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Abu Bakar Yusof berkata, pencapaian eksport itu membuktikan anjakan strategik kepada kepelbagaian pasaran dan produk sejak beberapa tahun kebelakangan ini mula membuahkan hasil.
Perkembangan berkenaan berlaku ketika ketidaktentuan rantaian bekalan global yang turut membuka ruang kepada permintaan terhadap eksport Malaysia.
Landskap baharu itu menyerlahkan daya tahan struktur ekonomi serta keupayaan pengeksport Malaysia, termasuk PMKS, dalam menghadapi kesan ketidaktentuan global.
“MATRADE terus memperdalam inisiatif akses pasaran melalui program pembangunan keupayaan pengekport yang berintegrasi dan disesuaikan mengikut keperluan dengan meningkatkan pendekatan menyeluruh kerajaan serta kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan swasta,” tambahnya.
Sementara itu, MATRADE akan terus mempergiat aktiviti promosi eksport di peringkat tempatan dan global bagi mengetengahkan keupayaan syarikat Malaysia.
Antara program utama ialah Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS), pameran perdagangan halal terbesar di dunia, yang dijadual berlangsung dari 23 hingga 26 September 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
MIHAS 2026 dijangka menghimpunkan 1,700 peserta pameran dari dalam dan luar negara, selain 300 pembeli antarabangsa serta 27 agensi media antarabangsa.