
KUALA LUMPUR, 21 September- Kementerian Perpaduan Negara akan memohon peruntukan RM550.7 juta daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi melaksanakan enam inisiatif utama menerusi Belanjawan 2027.
- Inisiatif utama termasuk program perpaduan, identiti nasional, keharmonian antara agama, pemeliharaan warisan, penambahbaikan premis dan pendigitalan khazanah.
- Permohonan tambahan geran padanan RM5 juta bagi perpustakaan dan arkib; muzium terima RM5 juta tahun ini.
- Sasaran mewujudkan pangkalan data perkongsian artifak muzium tahun depan, namun perlukan rundingan berikutan bidang kuasa negeri.
- RUU Muzium Malaysia dijangka dibentang tahun depan selepas semakan AGC; melibatkan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan dan cadangan Majlis Muzium Malaysia.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata inisiatif berkenaan merangkumi program perpaduan dan identiti nasional, usaha memperkukuh keharmonian antara agama, program berkaitan warisan, penambahbaikan premis perpaduan, pendigitalan khazanah negara serta geran padanan.
“Sekarang kita sedang mengangkat inisiatif-inisiatif yang menjurus kepada pembinaan negara bangsa. Itu merupakan tugas utama kita untuk tahun-tahun akan datang,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Festival Penceritaan Malaysia 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata kementerian turut memohon tambahan geran padanan sebanyak RM5 juta masing-masing untuk perpustakaan dan arkib, selain RM5 juta yang diterima bagi muzium tahun ini.
Dalam perkembangan lain, kementerian menyasarkan pewujudan satu pangkalan data perkongsian maklumat artifak muzium tahun depan.
Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaannya masih memerlukan rundingan kerana pengurusan muzium turut melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri.
Sementara itu, Rang Undang-Undang (RUU) Muzium Malaysia dijangka dibentangkan di Parlimen tahun depan selepas proses semakan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) selesai.
RUU berkenaan akan melibatkan tiga Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan termasuk cadangan penubuhan Majlis Muzium Malaysia.