PTM sokong pendirian menteri, kebebasan berkarya tidak seharusnya hina negara

Persatuan Teater Malaysia (PTM)

KUALA LUMPUR, 21 September – Kebebasan berkarya tidak seharusnya dijadikan alasan memperlekeh asas kenegaraan atau mencetuskan provokasi yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.

RINGKASAN BERITA AI
  • PTM menyokong pendirian Menteri Perpaduan Negara susulan kontroversi klip video teater.
  • PTM menyeru siasatan telus berasaskan undang-undang dan tindakan wajar jika bukti pelanggaran ditemui.
  • PTM menekankan konteks penuh karya perlu diperjelas berhubung maklumat yang tidak diketahui dalam klip tular.
  • Kebebasan seni dihormati tetapi mesti disertai tanggungjawab terhadap Rukun Negara, institusi negara dan keharmonian masyarakat.

Persatuan Teater Malaysia (PTM) dalam satu kenyataan, senada dengan pandangan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, susulan penularan klip video pementasan teater pada 2018 yang didakwa mempersendakan Rukun Negara dan institusi diraja.

Klip video pementasan teater This is Malaysia oleh kumpulan The Fever Kinetic Theatre yang didakwa memperlekehkan Rukun Negara dan institusi diraja itu turut mendapat kecaman beberapa pihak, termasuk Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Majlis Perundingan Melayu.

Sehubungan itu, PTM menyokong siasatan secara telus berasaskan undang-undang, dan sekiranya terdapat bukti pelanggaran undang-undang, tindakan wajar diambil mengikut proses yang ditetapkan.

Pada masa sama, PTM berpandangan konteks penuh sesuatu karya juga perlu diperjelaskan sekiranya terdapat maklumat yang tidak diketahui daripada klip video yang tular.

PTM menegaskan perkara yang perlu diberi perhatian bukan sekadar bentuk sesebuah persembahan sama ada lucu, satira atau eksperimental, sebaliknya tanggungjawab memastikan simbol, prinsip dan asas yang menyatukan rakyat tidak dijadikan bahan sindiran atau ejekan.

Menurut PTM, Rukun Negara bukan sekadar ikrar yang dibaca pada majlis rasmi, sebaliknya merupakan asas pembinaan identiti nasional serta usaha memupuk perpaduan dalam masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya.

Dalam pada itu, PTM menegaskan kebebasan seni dan kreativiti tetap penting dalam sebuah masyarakat demokratik, namun kebebasan berkenaan perlu disertai tanggungjawab menghormati asas kehidupan bersama.

Tanggungjawab itu lebih penting apabila karya menyentuh isu kaum, identiti, institusi negara dan keharmonian masyarakat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.