
BENTONG, 21 September – Seramai 53 penduduk daripada 20 buah keluarga ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Janda Baik di Bentong, setakat 1.30 tengahari tadi.
- Hujan lebat di Kampung Janda Baik menyebabkan pemindahan penduduk ke Pusat Pemindahan Sementara SK Janda Baik.
- PPS dibuka pada 6.00 petang menempatkan 105 penduduk daripada 34 keluarga, termasuk 10 warga emas dan 18 kanak-kanak.
- Agensi terlibat termasuk APM, polis, bomba, JKM, Rela dan JKKK; APM membantu urus penduduk di PPS bersama JKM.
- Di Maran, empat kediaman di Kampung Kuala Sentul dan Kampung Bukit Kuin dilanda banjir kilat; 14 penduduk menumpang keluarga terdekat.
Kesemua penduduk terjejas dipindahkan, susulan hujan lebat berterusan yang melibatkan kawasan Kampung Janda Baik, malam tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memaklumkan, PPS itu mula dibuka pada pukul 6.00 petang semalam menempatkan 105 penduduk daripada 34 keluarga. Jumlah tersebut termasuk 10 orang warga emas dan 18 orang kanak-kanak.
Agensi terlibat adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), polis, bomba, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK). Pihak APM membantu dalam kerja-kerja pengurusan penduduk terjejas di PPS bersama JKM.
Sementara itu, empat kediaman melibatkan Kampung Kuala Sentul dan Kampung Bukit Kuin, Maran dilanda banjir kilat, malam tadi.
Bagaimanapun, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka susulan kejadian yang berlaku kira-kira 8.30 malam itu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Maran memaklumkan, kesemua 14 penduduk yang terjejas, kini menumpang di rumah keluarga terdekat.
Menurutnya, pihak APM Daerah Maran telah ke lokasi kejadian bagi memantau situasi dan mendapatkan maklumat. Pihaknya telah mengambil tindakan, termasuk penyelarasan bantuan oleh lain-lain agensi berkaitan.
Berdasarkan perkembangan semasa, pihaknya mendapati trend air mula menunjukkan penurunan.