
KUALA LUMPUR, 21 September – Kemelut politik di Negeri Sembilan, perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang bagi mengelakkan isu berkenaan terus menjejaskan kestabilan pentadbiran negeri.
- Penyelesaian politik sebelum ini gagal merungkai kemelut, menunjukkan perlunya pendekatan lain untuk menentukan kedudukan pihak terlibat.
- Hubungan baik antara Menteri Besar dan pihak istana serta kerjasama Exco penting bagi kelancaran pentadbiran negeri.
- Rujuk mahkamah sebagai saluran perundangan membolehkan keputusan jelas dilakukan tanpa menjejaskan urus tadbir negeri.
Penganalisis Politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Azmi Hassan berpendapat penyelesaian secara politik sebelum ini dilihat gagal merungkai kemelut berkenaan, sekali gus memerlukan pendekatan lain bagi menentukan kedudukan pihak-pihak yang terlibat.
Beliau berkata, hubungan baik antara Menteri Besar dan pihak istana amat penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan negeri dapat berfungsi dengan lancar, selain memerlukan kerjasama barisan Exco.
“Penyelesaian politik tidak dapat menyelesaikan kemelut yang dihadapi sekarang kerana apa yang berlaku, yang dilakukan oleh Exco itu adalah cuba mencari penyelesaian politik. Malah, apa yang dilakukan oleh Menteri Besar sebelum ini juga cuba mencari penyelesaian politik yang ternyata gagal,” katanya ketika dihubungi RTM, hari ini.
Jelasnya, Negeri Sembilan masih mempunyai satu lagi ruang penyelesaian, iaitu melalui proses mahkamah bagi membolehkan perkara berkenaan ditentukan berdasarkan undang-undang.
Langkah itu penting supaya kemelut politik tidak berpanjangan sehingga menjejaskan urusan pentadbiran kerajaan negeri.
“Biarkan mahkamah menentukan perkara ini supaya ianya dapat diselesaikan 100 peratus tanpa membantutkan pentadbiran kerajaan negeri,” jelasnya.
Beliau berkata, penyelesaian menerusi saluran perundangan juga dapat memberikan ruang kepada pihak berkaitan mendapatkan keputusan yang jelas berhubung isu yang dipertikaikan, tanpa terus bergantung kepada rundingan politik.