
NAGOYA, 21 September – Persekutuan Teqball Antarabangsa (FITEQ) yakin acara teqball akan disenaraikan dalam Sukan Olimpik pada masa akan datang memandangkan acara berkenaan mendapat sokongan legenda bola sepak Sepanyol, Carles Puyol serta perkembangan pesat di Asia.
- Debut teqball di Sukan Asia 2026 menjadi platform penting; Thailand menang tiga daripada lima kategori.
- Setiausaha Agung Laszlo Vajda berkata penampilan di Sukan Asia meningkatkan peluang pengiktirafan antarabangsa.
- FITEQ ditubuhkan pada 2017 dan telah menganjurkan beberapa kejohanan dunia sejak itu.
- Meja teqball digunakan di pusat latihan kelab ternama seperti Manchester United, Paris Saint-Germain dan Barcelona, menaikkan profil sukan.
Keyakinan itu disuarakan selepas penampilan sulung acara berkenaan di Sukan Asia 2026, dengan Thailand muncul antara negara paling menyerlah apabila meraih tiga daripada lima kategori yang dipertandingkan.
Setiausaha Agungnya, Laszlo Vajda mengakui penampilan sulung di Sukan Asia menjadi platform penting dalam usaha untuk memperoleh pengiktirafan lebih besar.
“Komuniti teqball di seluruh dunia mengimpikan untuk menjadi salah satu acara dalam Sukan Olimpik,”katanya kepada Reuters.
Beliau turut percaya, penyertaan teqball di Sukan Asia telah menarik perhatian Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
Walaupun dianggap sukan baharu, namun beberapa kejohanan dunia telah dianjurkan sejak penubuhan FITEQ pada 2017.
Malah, teqball semakin mendapat perhatian apabila beberapa kelab bola sepak ternama termasuk Manchester United, Paris Saint-Germain dan Barcelona menggunakan meja teqball di pusat latihan masing-masing.
Sementara itu, bekas kapten Barcelona, Carles Puyol berpendapat teqball berupaya membantu pemain profesional meningkatkan kemahiran teknikal serta ketika sesi pemanas badan.
“Semakin ramai yang menyertai teqball, semakin besar potensinya dan saya melihat sukan ini mempunyai masa depan,”kata Puyol.
Perkembangan sukan teqball kini mendapat tempat di Asia memandangkannya mempunyai beberapa persamaan dengan sepak takraw.-REUTERS