
AICHI, 21 September – Ungkapan ‘never say die’ menjadi amanat Pengarah Kejurulatihan Beregu Kebangsaan Rexy Mainaky buat skuad badminton berpasukan lelaki negara menjelang pertembungan getir menentang Indonesia pada suku akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, esok.
- Rexy menasihatkan pemain supaya tidak gentar dengan status Indonesia sebagai pilihan utama, main dengan keyakinan dan berjuang hingga akhir.
- Kemenangan 3-0 ke atas Mongolia memastikan Malaysia mara ke suku akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.
- Kemenangan itu memberi peluang pemain mencuba dan menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sebagai persediaan hadapi Indonesia.
- Leong Jun Hao, gandingan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin dan Justin Hoh meraih kemenangan penting untuk pastikan kelayakan pusingan pertama.
Rexy berkata pemain Malaysia tidak perlu terlalu memikirkan status Indonesia sebagai pilihan utama, sebaliknya perlu turun ke gelanggang dengan keyakinan dan semangat untuk berjuang hingga ke penghujung setiap perlawanan.
“Ini satu ‘never say die’,” katanya ringkas selepas Malaysia menewaskan Mongolia 3-0 pada pusingan pertama di Ichinomiya City Municipal Gymnasium, hari ini.
Rexy berkata kemenangan ke atas Mongolia juga memberi peluang kepada pemain menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang sebagai persediaan menghadapi Indonesia.
“Kita harapkan kesempatan yang kita dapat ini lawan Mongolia, sekurang-kurangnya kita sudah cuba keadaan venue ini. Semoga semua pemain semua boleh ambil ini sebagai satu advantage,” katanya.
Terdahulu, Malaysia mara ke suku akhir selepas menewaskan Mongolia 3-0 menerusi kemenangan Leong Jun Hao, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani dan Justin Hoh.-BERNAMA