
KUALA LUMPUR, 20 September – Usahawan mikro perlu berani meningkatkan kemahiran serta keyakinan dalam mengembangkan perniagaan masing-masing.
- Pembangunan usahawan mesti selari dengan ekonomi kitaran; sisa boleh diberi nilai baru melalui kreativiti, inovasi dan menyokong kelestarian alam sekitar.
- Program bukan sekadar latihan tetapi platform untuk usahawan terus kreatif menghasilkan produk baharu yang mempunyai nilai komersial.
- Inisiatif lima hari menampilkan bengkel Natural Dye, Eco Printing dan Upcycle serta pameran jualan memberi pendedahan praktikal dan peluang pasaran.
Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bertitah, setiap kejayaan bermula dengan langkah kecil dan kumpulan sasar disaran untuk terus berusaha meningkatkan kualiti serta yakin dengan kemampuan diri.
“Dalam masa yang sama, pembangunan usahawan hari ini perlu bergerak seiring dengan ekonomi kitaran.
“Bahan yang dianggap sebagai sisa sebenarnya boleh diberi nilai baru melalui kreativiti dan inovasi, sekali gus membuka peluang perniagaan serta membantu menjaga alam sekitar,”titah baginda pada majlis Program Dari Mikro ke Kecil, hari ini.
Dalam masa sama, baginda berharap program seperti ini bukan sekadar memberi latihan tetapi platform kepada usahawan untuk terus kreatif dalam menghasilkan produk baharu yang mempunyai nilai komersial.
Program berlangsung lima hari sejak 16 September lepas, menampilkan 50 reruai jualan kraf, selain bengkel Natural Dye, Eco Printing dan Upcycle yang mengetengahkan penghasilan produk secara kreatif, inovatif dan lestari.