Lapan Negara Islam, Arab kecam syor Menteri Israel usir penduduk Gaza

Foto Fail AFP

KAHERAH, 7 September – Menteri Luar dari lapan negara Islam dan Arab mengecam keras kenyataan serta cadangan dua menteri Israel berhubung pengusiran dan pemindahan paksa penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mengecam kenyataan dan cadangan menteri Israel Itamar Ben-Gvir serta Menteri Pertahanan Katz yang mencadangkan pengusiran penduduk Palestin.
  • Menyatakan cadangan berunsur provokasi itu melanggar undang-undang antarabangsa dan undang-undang kemanusiaan, mengancam hak Palestin.
  • Menolak sebarang usaha pemindahan paksa warga Palestin, sama ada di dalam atau ke luar wilayah yang diduduki.
  • Mendesak penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan 4 Jun 1967, dan PBB bertindak mencegah perubahan demografi wilayah Palestin.

Dalam satu kenyataan bersama, menteri luar dari Mesir, Qatar, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Turkiye, Indonesia dan Pakistan membantah tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel Itamar Ben-Gvir serta Menteri Pertahanan Israel Katz yang mengemukakan pelan untuk mengusir warga Palestin dari tanah air mereka.

“Kenyataan dan cadangan berunsur provokasi seperti ini melanggar prinsip undang-undang antarabangsa secara terang-terangan, termasuk undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta mengancam hak mutlak rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.

Para menteri menegaskan penolakan mutlak terhadap sebarang usaha atau rancangan memindahkan warga Palestin, sama ada di dalam mahupun ke luar wilayah yang diduduki.

Mereka turut memberi amaran agar seruan pemindahan paksa ini tidak dijadikan dasar rasmi atau langkah konkrit untuk menyingkirkan penduduk tempatan.

Kenyataan itu turut menekankan Semenanjung Gaza merupakan sebahagian daripada wilayah Palestin yang diduduki dan kedaulatannya mesti dipelihara bersama Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.

“Satu-satunya jalan untuk mencapai kedamaian yang adil dan berpanjangan adalah menerusi penyelesaian dua negara dengan penubuhan negara Palestin yang merdeka mengikut sempadan 4 Jun 1967 dan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara,” tegas mereka.

Kumpulan menteri luar berkenaan turut mendesak masyarakat antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya bertindak tegas menyekat percubaan mengubah demografi mahupun geografi di wilayah Palestin demi memastikan undang-undang antarabangsa terus dihormati.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.