Letusan Anak Krakatau: Sesi pembelajaran dalam talian hingga Rabu

Gunung Berapi Anak Krakatau/ Foto REUTERS

JAKARTA, 7 September Semua sekolah di wilayah Banten melaksanakan sesi pembelajaran dalam talian selama tiga hari bermula Isnin selepas abu letusan Gunung Anak Krakatau melitupi wilayah tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Abu letusan menyelubungi ibu negara Jakarta dan beberapa kawasan sekitar.
  • BMKG lapor debuan abu setinggi 6,000 meter di Jawa dan hingga 15,000 meter di Sumatera.
  • Gabenor gesa kekal tenang tetapi sentiasa waspada, kurangkan aktiviti luar, pakai pelitup muka dan elak radius tiga kilometer.

Menurut satu kenyataan rasmi, semua sekolah akan menjalankan pembelajaran dari rumah bagi mengelak risiko kesihatan terhadap pelajar.

Abu dari Gunung Anak Krakatau yang terletak di pertengahan antara pulau Jawa dan Sumatera turut menyelubungi ibu negara Jakarta serta beberapa kawasan sekitar sejak ia meletus pada Jumaat.

Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) melaporkan letusan tersebut menghasilkan debuan abu setinggi 6,000 meter di bahagian Jawa dan menjangkau hingga 15,000 meter di bahagian Sumatera serta beberapa kawasan di wilayah Banten.

Gabenor Banten, Andra Soni menggesa orang ramai agar tidak panik tetapi kekal waspada berikutan kejadian berkenaan.

“Kami menggesa penduduk supaya kekal tenang tetapi sentiasa berwaspada, mengurangkan aktiviti di luar rumah dan memakai pelitup muka kerana pada masa ini hujan abu masih berlaku dan boleh menjejaskan kesihatan.

“Kami juga menggesa para nelayan dan pelancong supaya mengelakkan diri daripada menghampiri Gunung Anak Krakatau dalam radius tiga kilometer,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.