
JAYAPURA, 7 September – Seramai 11 orang termasuk enam kanak-kanak terkorban dalam kebakaran besar membabitkan pasar di wilayah timur Papua, Indonesia pada Isnin.
- Kebakaran dikesan di bandar Paniai lalu merebak pantas ke beberapa deretan rumah kedai berhampiran.
- Mangsa ditemui meninggal dunia akibat luka kesan terbakar, termasuk kanak-kanak.
- Api memusnahkan sekurang-kurangnya 40 kiosk dan kediaman; kedudukan bangunan rapat melambatkan pemadaman.
Kenyataan jurucakap polis tempatan, Henry J. Manurung menyatakan, kebakaran tersebut mula dikesan di bandar Paniai sebelum api merebak dengan pantas ke beberapa deretan rumah kedai berhampiran.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, pegawai menemukan 11 mangsa yang meninggal dunia akibat luka kesan terbakar.
Daripada jumlah tersebut, lima daripadanya merupakan individu dewasa manakala enam lagi ialah kanak-kanak,” kata Henry dalam satu kenyataan.
Beliau menambah kanak-kanak yang terkorban dalam tragedi berkenaan dianggarkan berusia antara dua hingga sembilan tahun.
Kebakaran yang marak selama lebih tiga jam itu memusnahkan sekurang-kurangnya 40 kiosk dan kediaman.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
“Maraknya api serta kedudukan rumah dan warung yang terlalu rapat antara satu sama lain menyebabkan proses pemadaman mengambil masa agak lama,” jelas Henry.- AFP