
KUALA LUMPUR, 4 September – Peningkatan harga bahan api susulan konflik di Asia Barat dijangka memberi tekanan kepada prestasi kewangan Malaysia Aviation Group (MAG) bagi tahun kewangan 2026.
- Kos bahan api meningkat kepada lebih 50 peratus daripada keseluruhan kos, memberi tekanan ketara kepada prestasi kewangan MAG.
- MAG melaksanakan pengurangan penerbangan bersasar sekitar 5 peratus ASK, bersamaan kira-kira 8,000 penerbangan.
- Kerajaan memberi sokongan termasuk pengurangan bayaran lapangan terbang dan perbincangan bantuan bagi mengurangkan tekanan kos operasi MAG.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG Kapten Nasaruddin A Bakar berkata, kos bahan api kini meningkat kepada lebih 50 peratus daripada keseluruhan kos, berbanding sekitar 40 peratus sebelum konflik itu tercetus.
“Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, iaitu Januari dan Februari, kami masih mencatat keuntungan dan menunjukkan prestasi operasi yang sangat baik. Kadar ketepatan masa penerbangan Firefly juga berada pada paras 91 hingga 92 peratus.
“Namun, apabila krisis di Asia Barat tercetus pada 28 Februari, harga minyak melonjak kepada kira-kira AS$227 setong dalam tempoh 10 hari selepas itu dan semalam masih berada pada sekitar AS$160 setong. Keadaan ini memberi tekanan yang ketara kepada prestasi kewangan kami,” katanya pada sidang media Pengumuman Rangkaian MAG, di sini.
Menurut beliau, MAG telah melaksanakan pengurangan penerbangan secara bersasar, dengan kira-kira lima peratus kapasiti tempat duduk tersedia bagi setiap kilometer (ASK), bersamaan sekitar 8,000 penerbangan daripada keseluruhan 120,000 penerbangan.
Jelas beliau, langkah itu akan dipantau secara harian bagi mengenal pasti pasaran dan destinasi yang sesuai untuk dikekalkan, sekali gus memastikan prestasi kewangan kumpulan dapat dikawal sepanjang 2026.
Mengulas mengenai Belanjawan 2026, katanya, kerajaan telah memberikan sokongan kepada MAG dan syarikat penerbangan lain dalam negara dalam menghadapi persekitaran operasi yang mencabar.
Tambah beliau, MAG turut mengadakan perbincangan secara berkala dengan kerajaan mengenai langkah yang boleh membantu mengurangkan tekanan kos, termasuk bayaran berkaitan lapangan terbang.
“Kami berharap sokongan yang diberikan kerajaan dapat membantu kami mengurus rangkaian penerbangan dengan lebih baik. Kerajaan juga prihatin terhadap perkembangan konflik di Asia Barat dan kami sentiasa berhubung dengan kerajaan bagi membincangkan bentuk bantuan yang boleh diberikan.
“Antara sokongan yang diterima termasuk usaha mengurangkan beberapa kos operasi, seperti bayaran di lapangan terbang, yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan tekanan terhadap prestasi kewangan kami,” katanya lagi.