Pengukuhan industri benih tanaman tempatan kurangkan kebergantungan import

Kebergantungan tinggi terhadap sumber luar mendedahkan sektor tanaman kepada risiko gangguan rantaian bekalan

SERDANG, 3 September – Industri benih tanaman tempatan diperkukuh bertujuan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber import, sekali gus memperkukuh keterjaminan makanan negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengukuhan kawal selia, pembangunan kapasiti pengeluar serta sokongan penyelidikan dan pembiakbakaan untuk tingkatkan pengeluaran benih tempatan.
  • Kebergantungan import tinggi mendedahkan sektor kepada risiko gangguan rantaian bekalan dan perubahan geopolitik.
  • Kerajaan peruntuk RM5 juta dan geran padanan untuk pembangunan varieti baharu tahan iklim dan perosak.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan usaha itu meliputi pengukuhan kawal selia, pembangunan kapasiti pengeluar serta sokongan penyelidikan dan pembiakbakaan.

“Langkah berkenaan penting berikutan hampir 90 peratus keperluan biji benih sayur-sayuran negara masih diimport, manakala nilai import meningkat daripada sekitar lima juta dolar Amerika pada 2021 kepada 70 juta dolar Amerika pada 2025.

“Faktor geopolitik dan rantaian bekalan amat penting kerana sekiranya berlaku gangguan import, keadaan itu boleh menjejaskan pengeluaran makanan negara. Justeru, Jabatan Pertanian memberi tumpuan kepada penghasilan varieti baharu dan benih yang bersesuaian dengan cuaca serta keadaan tanah di Malaysia,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Pemerkasaan Industri Benih Tanaman Negara sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026.

Beliau turut menyatakan kebergantungan tinggi terhadap sumber luar mendedahkan sektor tanaman kepada risiko gangguan rantaian bekalan, perubahan geopolitik dan peningkatan kos input pertanian.

Sehubungan itu, kerajaan memperuntukkan RM5 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 menerusi Program Pemerkasaan Benih Tulen dan Berkualiti bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan.

Kerajaan turut menyediakan Geran Padanan Pembiakbakaan Tanaman Inklusif bagi menyokong pembangunan varieti baharu yang lebih berdaya hasil dan berdaya tahan terhadap perubahan iklim serta serangan perosak.

MAHA 2026 yang berlangsung sehingga 6 September mencatatkan kehadiran 2.2 juta pengunjung setakat semalam dengan nilai jualan RM14 juta.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.