Kemalangan 11 kenderaan: PM arah siasatan teliti, kenal pasti punca

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 1 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pihak berwajib menjalankan siasatan dengan teliti bagi mengenal pasti punca kemalangan membabitkan 11 kenderaan di Temerloh, Pahang yang meragut empat nyawa, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri menzahirkan ucapan takziah dan mendoakan agar roh mangsa dicucuri rahmat.
  • Perdana Menteri mengingatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati, mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan keluarga.
  • Siasatan awal polis mendapati lori tangki membawa simen hilang kawalan lalu melanggar beberapa kenderaan.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa dan mendoakan agar roh mangsa dicucuri rahmat.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Semoga Allah SWT mengurniakan kekuatan serta ketabahan kepada keluarga yang ditinggalkan,” katanya.

Dalam hantaran sama, Perdana Menteri mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

Kemalangan berlaku kira-kira pukul 10 malam di Kilometer 110.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 arah Timur di Lanchang, berhampiran susur keluar Plaza Tol Temerloh.

Ia membabitkan empat kereta, tiga kenderaan utiliti sukan (SUV), sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), sebuah pikap, sebuah lori tangki dan sebuah bas.

Empat termasuk tiga sekeluarga terbunuh manakala tiga lagi cedera.

Tiga sekeluarga yang maut ialah pasangan suami isteri, Muhammad Nazatul Nazmi dan Nur Atiqah Sofiya Mohd Kazwan, masing-masing berusia 32 tahun, serta anak lelaki mereka berusia empat tahun yang menaiki sebuah kereta sedan.

Keluarga itu dipercayai sedang dalam perjalanan pulang selepas menyambut Hari Kebangsaan 2026.

Seorang lagi mangsa yang terbunuh ialah penumpang SUV, Seow Beng Wain, 55 tahun, dari Kota Kemuning, Shah Alam.

Berdasarkan siasatan awal polis, kemalangan berpunca daripada lori tangki membawa simen yang hilang kawalan sebelum melanggar beberapa kenderaan lain.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.