
PUTRAJAYA, 30 Ogos – Pelbagai pengumuman baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena dengan amanatnya hari ini mendapat sambutan positif golongan belia, khususnya inisiatif berkaitan pendigitalan dan kos sara hidup.
- Program kecerdasan buatan percuma selama tiga bulan, membantu mahasiswa tingkat kemahiran dan memperluas kaedah pembelajaran.
- Peningkatan kuota subsidi BUDI MADANI daripada 200 kepada 300 liter sebulan meringankan beban kos pengangkutan belia.
- Belia puji kemudahan AI mudah digunakan sebagai rujukan untuk memahami dan mendalami perkara yang diajar di kelas.
- Perdana Menteri umum enam ikhtiar segera: subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, AI, pendigitalan kesihatan, e-Invois, pembiayaan mikro, berkuat kuasa 1 September.
Antara yang disambut baik ialah program kecerdasan buatan (AI) percuma untuk rakyat selama tiga bulan, yang dilihat mampu membantu mahasiswa meningkatkan kemahiran serta memperluas kaedah pembelajaran.
Selain peningkatan had kuota subsidi BUDI MADANI yang mampu meringankan beban mereka.
“Saya rasa amat bangga apabila dapat menggunakan langganan AI secara percuma yang diberikan kepada golongan belia di Malaysia. Bagi saya yang baru mendalami ilmu dalam bidang ini, kemudahan tersebut amat berguna untuk membantu saya terus menambah pengetahuan. Saya rasa sangat bagus apabila langganan itu diberikan secara percuma kepada golongan belia di Malaysia,” kata belia, Fahmi Najmi Zainordin.
“BUDI MADANI banyak memberikan manfaat kepada kita kerana untuk pengangkutan, kita memerlukan minyak dan sebagainya. Jadi, peningkatan itu memberi manfaat kepada kita. Terima kasih kepada Datuk Seri Anwar kerana telah meningkatkan kuota BUDI daripada 200 kepada 300 liter sebulan,” kata belia, Ahmad Luqman Nasae Ahmad Sabri.
“Pada pendapat saya, program AI itu sangat berguna, lebih-lebih lagi untuk pelajar seperti kami. Tempoh tiga bulan itu cukup lama untuk kami manfaatkan. Penggunaannya juga sangat mudah kerana kadang-kadang terdapat perkara yang kurang difahami dalam kelas. Jadi, kami boleh menggunakan AI itu sebagai rujukan untuk mencari maklumat dan mendalami lagi apa yang dipelajari dalam kelas,” kata belia, Nur Syahtikah Najwa Sarip.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan enam ikhtiar segera untuk rakyat merangkumi subsidi bahan api, penyelenggaraan sekolah, AI, pendigitalan kesihatan, e-Invois dan pembiayaan mikro yang akan berkuat kuasa 1 September ini.