Tembakan di sekolah rendah Oregon, empat terkorban

Foto fail/AFP

LOS ANGELES, 16 Oktober –Sekurang-kurangnya empat individu, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang guru, maut dalam insiden tembakan di sebuah sekolah rendah di Oregon, Amerika Syarikat, pada Khamis.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jumlah korban belum disahkan oleh pihak berkuasa.
  • Laporan media menyebut empat terkorban, termasuk tiga kanak-kanak dan seorang dewasa.
  • Suspek ditembak mati; identiti orang yang menembak suspek masih belum dikenal pasti.

Polis mengesahkan suspek berusia 16 tahun turut maut selepas ditembak seorang individu awam bersenjata yang bertindak mengejarnya ketika suspek memasuki sekolah berkenaan.

Ketua Polis Bend, Mike Krantz, berkata pihaknya pada awalnya menerima laporan seorang individu ditembak beberapa kali oleh suspek yang membawa senjata api laras panjang.

Puluhan panggilan kecemasan kemudian diterima, memaklumkan seorang penembak memasuki Sekolah Rendah Silver Rail di bandar Bend.

Anggota polis tiba di lokasi pada pukul 1.02 tengah hari waktu tempatan sebelum dimaklumkan suspek telah ditembak oleh seorang individu awam yang menyaksikan kejadian itu.

Polis kemudian memasuki bangunan sekolah dan mengesahkan suspek meninggal dunia.

Tiga kanak-kanak yang maut di lokasi masing-masing berusia lima, lapan dan 11 tahun, manakala seorang guru turut disahkan meninggal dunia.

Seorang lagi kanak-kanak berusia tujuh tahun dan seorang guru berusia 54 tahun mengalami kecederaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital.

Polis memaklumkan siasatan masih di peringkat awal, namun kejadian dipercayai bermula apabila suspek memaksa masuk ke dalam sekolah dengan melepaskan tembakan ke arah pintu yang berkunci.

Sementara itu, Penguasa Sekolah Daerah Bend-La Pine, Steve Cook, menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi yang sukar dibayangkan dan menyatakan seluruh komuniti sekolah berkenaan amat berdukacita.

Susulan insiden itu, semua sesi persekolahan pada Jumaat, termasuk aktiviti dan acara sukan di bawah daerah berkenaan, dibatalkan.

Kejadian berkenaan sekali lagi mencetuskan gesaan supaya kawalan senjata api di Amerika Syarikat diperketatkan.

Menurut Gun Violence Archive, lebih 360 insiden tembakan rambang direkodkan di negara itu sejak awal tahun ini, dengan organisasi berkenaan mentakrifkan insiden sedemikian sebagai kejadian yang mengakibatkan sekurang-kurangnya empat orang ditembak.

Anggota Kongres dari Oregon, Janelle Bynum, dalam kenyataannya menyelar keganasan bersenjata yang terus mengancam keselamatan kanak-kanak. – AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.