
KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Perubahan pola dan struktur demografi yang berlaku perlu diberi perhatian kerana mempunyai kaitan langsung dengan pembentukan keluarga serta hala tuju generasi akan datang.
- Pembentukan keluarga harus berasaskan keikhlasan dan iltizam sebagai tonggak pembangunan masa depan negara.
- Pembangunan keluarga bandar mesti disertai pendidikan berkualiti untuk melahirkan generasi bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
- Kerajaan laksanakan inisiatif KPWKM dan LPPKN seperti Dasar Kasih, Pelan Tindakan 2026–2030, SmartStart, kaunseling dan rawatan subfertiliti.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail merangkap Ahli Parlimen Bandar Tun Razak berkata, usaha ini menjadi keutamaan dalam menangani pelbagai tekanan era moden, terutamanya di kawasan bandar yang menghadapi cabaran kos sara hidup dan kepadatan penduduk.
Beliau menegaskan bahawa pembinaan sesebuah keluarga perlu didasari niat dan iltizam untuk menyumbang kepada pembangunan masa depan Malaysia.
“Keikhlasan dan iltizam dalam membina institusi keluarga merupakan tonggak utama pembangunan masa depan negara yang perlu direalisasikan, bukan sekadar dilaungkan sebagai slogan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2026 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas, di sini.
Menurut Dr. Wan Azizah, pembangunan keluarga di kawasan bandar perlu seiring dengan pendidikan yang berkualiti untuk melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.
“Apabila kita menyentuh mengenai kekeluargaan, terutamanya dalam konteks Bandar Tun Razak, isu kemiskinan bandar amat ketara. Justeru, kita mahu menyelesaikan masalah ini agar generasi anak-anak akan datang mendapat pendidikan yang berkualiti kerana pendidikan itu amat penting,” tambah beliau.
Dr. Wan Azizah turut menyentuh mengenai trend demografi semasa di Kuala Lumpur, merujuk kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang merekodkan kira-kira 467,000 penduduk bandar raya ini masih belum berkahwin berbanding 891,000 yang telah mendirikan rumah tangga, di samping penurunan kadar kelahiran.
Fenomena ini mencerminkan cabaran persekitaran, tekanan ekonomi, serta isu perumahan yang menjejaskan perancangan kehidupan generasi muda.
Bagi menangani isu berkenaan, kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) telah melaksana pelbagai inisiatif sokongan merangkumi Dasar Kasih Keluarga Negara, Pelan Tindakan Keluarga Negara 2026–2030, program SmartStart, kaunseling keluarga, serta perkhidmatan rawatan subfertiliti.