Banjir Nepal : Elak spekulasi, kongsi maklumat tidak sahih

Keadaan selepas banjir di Trishuli, daerah Nuwakot, Nepal/ REUTERS

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi maklumat yang tidak sahih berhubung dakwaan kononnya berlaku kemalangan jiwa membabitkan warga Malaysia susulan bencana banjir di Daerah Rasuwa, Nepal.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wisma Putra melalui Kedutaan di Kathmandu belum menerima pengesahan rasmi mengenai sebarang kemalangan jiwa yang melibatkan warga Malaysia.
  • Bilik Operasi Wisma Putra di Putrajaya beroperasi bagi menyelaraskan maklumat; ahli keluarga diminta hubungi +603-8887 4570 atau dutyofficer@kln.gov.my.
  • Kedutaan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan menyelamat dan hospital; pegawai konsular New Delhi dan Beijing diaktifkan untuk bantuan.

Wisma Putra dalam kenyataan juga mahu semua pengamal media tidak menerbitkan atau menyebarkan laporan tidak sahih berhubung kejadian tersebut.

“Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu, sedang giat mendapatkan pengesahan segera daripada pihak berkuasa Nepal. Pada peringkat ini, Wisma Putra belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai sebarang kemalangan jiwa yang melibatkan warga Malaysia.

“Maklumat yang tidak sahih boleh mencetuskan kebimbangan dan tekanan yang tidak sepatutnya kepada ahli keluarga yang terlibat. Oleh itu, semua pihak diseru untuk menunggu maklumat rasmi dan menghormati privasi keluarga mangsa yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu sentiasa berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi-agensi pelancongan serta hospital-hospital utama di Kathmandu bagi memastikan keselamatan dan keberadaan warga Malaysia yang terlibat.

Pegawai-pegawai konsular di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dan Kedutaan Besar Malaysia di Beijing juga telah diaktifkan untuk membantu usaha tersebut melalui libat urus dengan pihak berkuasa berkaitan di negara penempatan masing-masing.

Bilik Operasi Wisma Putra di Putrajaya telah beroperasi sejak pukul 12.00 tengah hari tadi bagi menyelaraskan maklumat dan menyediakan saluran komunikasi langsung untuk warga Malaysia di kawasan terjejas serta ahli keluarga mereka.

Ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan, termasuk nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir diketahui dan nombor telefon yang boleh dihubungi, digesa untuk menghubungi bilik operasi Wisma Putra menerusi talian +603-8887 4570 atau e-mel kepada dutyofficer@kln.gov.my.

“Ahli keluarga juga boleh menyalurkan butiran yang berkaitan secara terus kepada Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu melalui e-mel,mwkathmandu@kln.gov.my, dan disalinkan kepada Bilik Operasi Wisma Putra.

“Warga Malaysia juga digesa untuk mendaftar dan sentiasa mengemas kini maklumat perhubungan mereka menerusi portal e-Konsular di pautan https://ekonsular.kln.gov.my,” tambah kenyataan itu.

Warga Malaysia yang menetap atau melakukan perjalanan di Nepal, terutamanya mereka yang berada di kawasan terjejas atau berhampiran dinasihatkan supaya terus berwaspada, mengutamakan keselamatan diri dan mematuhi sepenuhnya semua arahan pihak berkuasa tempatan.

Wisma Putra akan terus memantau perkembangan situasi ini dan akan menyalurkan maklumat terkini sebaik sahaja maklumat sahih diperoleh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.