Banjir Nepal: Dua anggota JBPM gagal dihubungi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengesahkan dua anggotanya merupakan antara 55 rakyat Malaysia yang dilaporkan gagal dihubungi susulan bencana banjir besar yang melanda Nepal, Rabu lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, Pegawai Bomba Kanan I, 44, dikenalpasti terlibat dalam banjir di Nepal.
  • Identiti pegawai kedua masih belum didedahkan oleh pihak berkuasa.
  • Isteri Hani berasa bimbang; komunikasi terakhir dengan suami pada Selasa lalu.
  • Ratusan penduduk tempatan dan pelancong asing masih hilang, talian komunikasi dan jalan raya terputus.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad ketika mengesahkan perkara itu berkata, salah seorang anggota dikenal pasti sebagai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa, 44.

Seorang lagi pegawai yang terlibat bagaimanapun belum didedahkan identitinya buat masa ini.

Mohd Fakhrul Munir, yang lebih mesra dikenali sebagai Loe Fakhrul, dilaporkan berada di negara berkenaan ketika bencana itu meragut ratusan nyawa serta menyebabkan ramai warga asing hilang.

Sementara itu, isteri kepada Mohd Fakhrul, yang hanya mahu dikenali sebagai Hani, ketika dihubungi mengakui berada dalam keadaan bimbang memandangkan kali terakhir komunikasi dibuat adalah pada Selasa lalu.

“Setakat ini kami belum menerima sebarang maklumat terbaharu. Kali terakhir saya dapat menghubungi suami adalah pada Selasa.

“Keluarga kini sedang berusaha sedaya upaya untuk menjejaki kedudukan mereka namun setakat ini tiada sebarang petunjuk dikesan,” katanya ketika dihubungi pihak RTM.

Sehingga kini, nasib ratusan penduduk tempatan dan pelancong asing di wilayah terjejas masih belum diketahui berikutan talian komunikasi dan akses jalan raya yang terputus akibat bencana tersebut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.