Projek Lebuhraya Bertingkat BSE dapat kelulusan prinsip Jemaah Menteri

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Jemaah Menteri meluluskan secara prinsip cadangan pembangunan Lebuhraya Bertingkat Bandar Malaysia–Seri Kembangan (BSE), yang disifatkan sebagai projek infrastruktur strategik bagi meningkatkan kesalinghubungan di kawasan Greater Kuala Lumpur.

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek sebagai laluan penghubung berkapasiti tinggi, menyediakan alternatif jalan raya serta meningkatkan mobiliti dan kecekapan logistik.
  • Mengintegrasikan lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur Seremban, MEX, BESRAYA, NPE, KESAS dan SPRINT.
  • Pembinaan dianggap pelaburan jangka panjang untuk memperkukuh keterangkuman pembangunan dan daya saing ekonomi negara.
  • Pembiayaan melalui sektor swasta tanpa komitmen kewangan langsung Kerajaan; KKR dan UKAS akan meneruskan rundingan serta penilaian terperinci.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu dicadangkan sebagai laluan penghubung berkapasiti tinggi bagi menyediakan alternatif kepada pengguna jalan raya, sekali gus melancarkan pergerakan antara koridor utara, selatan dan pantai timur Semenanjung.

Menurutnya, kesalinghubungan yang lebih baik dijangka meningkatkan mobiliti rakyat, memperkukuh kecekapan logistik serta melancarkan pergerakan barangan.

“Dari sudut kesejahteraan rakyat, BSE berpotensi mengurangkan masa perjalanan serta meningkatkan akses kepada pusat pekerjaan, institusi pendidikan dan perkhidmatan awam,” katanya dalam satu kenyataan.

BSE akan mengintegrasikan beberapa rangkaian lebuh raya utama termasuk Lebuhraya Kuala Lumpur–Seremban, Lebuhraya Maju (MEX) dan Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA).

Ia turut menghubungkan Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) serta rangkaian Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (SPRINT) yang lebih luas.

Datuk Seri Alexander berkata, pembangunan BSE bukan sekadar melibatkan pembinaan lebuh raya baharu, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang bagi memperkukuh kesalinghubungan, keterangkuman pembangunan dan daya saing ekonomi negara.

Susulan kelulusan secara prinsip itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) bersama agensi berkaitan termasuk Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) akan meneruskan rundingan dan penilaian terperinci bagi memuktamadkan struktur pelaksanaan projek.

Beliau berkata kerajaan akan meneliti setiap aspek, khususnya melibatkan kepentingan awam, nilai terbaik kepada negara dan kemampanan fiskal sebelum keputusan muktamad dibuat.

Cadangan pembangunan BSE berpandukan pendekatan pembiayaan sektor swasta tanpa melibatkan komitmen kewangan langsung daripada Kerajaan Persekutuan.

Pada masa sama, kerajaan turut meneliti beberapa cadangan penyelesaian infrastruktur lain bagi melengkapkan rangkaian jalan raya serta menangani kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.