Banjir Nepal: 55 rakyat Malaysia masih belum dapat dihubungi

Foto AFP

KUALA LUMPUR, 27 Ogos – Seramai 55 warganegara Malaysia yang dilaporkan berada di Daerah Rasuwa, Nepal, masih belum dapat dihubungi susulan banjir besar akibat limpahan Sungai Bhote Koshi, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gangguan komunikasi dan bekalan elektrik serta kerosakan jalan, jambatan dan lebuh raya menyukarkan operasi mencari dan menyelamat ke kawasan terjejas.
  • Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan Kementerian Luar berhubung rapat dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan SAR, Lembaga Pelancongan dan hospital untuk mendapatkan maklumat.
  • Bilik Operasi Kementerian Luar diaktifkan, pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Dhaka ditempatkan di Kathmandu, dan talian serta emel bilik operasi disediakan untuk maklumat.

Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan pihaknya sedang memantau rapi situasi berkenaan berdasarkan maklumat terkini daripada ahli keluarga, agensi pelancongan dan sumber berkaitan.

“Gangguan teruk terhadap rangkaian komunikasi dan bekalan elektrik di kawasan terjejas dipercayai menyukarkan usaha menghubungi rakyat Malaysia terbabit.

“Menurut pihak berkuasa tempatan, banjir turut menyebabkan kerosakan teruk terhadap jalan raya, jambatan, lebuh raya dan rangkaian komunikasi, manakala operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan dengan akses ke kawasan terjejas terhad,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu kini berhubung dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan mencari dan menyelamat, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi pelancongan serta hospital utama di Kathmandu bagi mendapatkan kepastian mengenai keselamatan dan keberadaan rakyat Malaysia terbabit.

Pada masa ini, kementerian belum menerima sebarang pengesahan rasmi mengenai kemalangan jiwa melibatkan warganegara Malaysia.

Dalam pada itu, seorang pegawai dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh ditempatkan di Kathmandu bagi membantu usaha berkenaan, manakala Bilik Operasi Kementerian Luar di Putrajaya turut diaktifkan mulai pukul 12.00 tengah hari ini.

Rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan ahli keluarga yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bilik Operasi Kementerian Luar di talian +603 8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my manakala Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu boleh dihubungi menerusi mwkathmandu@kln.gov.my.

Kementerian turut merakamkan takziah kepada Kerajaan dan rakyat Nepal serta simpati kepada semua yang terjejas.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.