Tindakan perketat pintu masuk negara cegah kegiatan rentas sempadan

Foto BERNAMA

PASIR MAS, 26 Ogos – Tindakan memperketat kawalan di pintu masuk negara sejak kebelakangan ini menunjukkan perkembangan positif dalam usaha membendung ketirisan serta membanteras kegiatan yang melanggar undang-undang.

RINGKASAN BERITA AI
  • PDRM sentiasa bekerjasama dan membantu AKPS, Jabatan Imigresen dan Kastam bagi kawalan sempadan dan pintu masuk negara.
  • Arahan KDN melaksanakan kawalan pintu masuk secara bersepadu dan berkesan untuk mengekang sebarang perbuatan menyalahi undang-undang.
  • PDRM meneruskan siasatan untuk mengesan individu terlibat, walaupun kes silang sempadan diserahkan kepada pihak berkuasa negara lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa berkerjasama dan membantu agensi berkaitan seperti Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Pihak polis sentiasa membantu dan bersedia untuk memastikan tiada lagi ketirisan dan kebocoran berlaku, bukan sahaja di kawasan sempadan, tetapi juga di pintu-pintu masuk negara.

“Langkah ini penting bagi memastikan perkara-perkara berkaitan dapat kita kekang daripada terus berlaku pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pengkalan Haram Lubok Gong, Rantau Panjang, di sini.

Langkah berkenaan dilaksanakan selaras dengan arahan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi memastikan penugasan kawalan pintu masuk negara dapat dijalankan secara bersepadu dan berkesan demi mengekang sebarang perbuatan menyalahi undang-undang.

PDRM juga masih meneruskan siasatan berterusan serta mengesan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti haram.

Ketika mengulas berkenaan penahanan seorang juruterbang syarikat penerbangan tempatan di Indonesia berhubung kes penyeludupan dadah, Tan Sri Mohd Khalid menegaskan bahawa PDRM menyerahkan sepenuhnya urusan berkenaan kepada pihak berkuasa negara itu.

Bagaimanapun PDRM masih menjalankan siasatan secara berterusan bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap individu yang dipercayai merancang atau dalang di sebalik kegiatan berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.