
WASHINGTON, 27 Ogos – Amerika Syarikat (AS) pada Rabu menamakan kumpulan Palestine Action yang berpangkalan di United Kingdom kononnya sebagai ‘organisasi pengganas global’, selepas kumpulan itu diharamkan kerajaan Britain.
- AS mengenakan sekatan terhadap Palestine Action atas dakwaan menyokong tindakan keganasan.
- Palestine Action merayu pengharaman Britain; penguatkuasaan membawa kepada penahanan beribu-ribu dan kritikan kumpulan hak asasi.
- Pengasas Huda Ammori mengecam tindakan itu, mendakwa aktiviti kumpulan bertujuan menyelamatkan nyawa daripada operasi ketenteraan Israel.
AS turut mengenakan sekatan terhadap kumpulan berkenaan atas dakwaan kononnya menyokong ‘tindakan keganasan’.
Palestine Action yang ditubuhkan pada 2020 sedang merayu keputusan kerajaan Britain, yang setakat ini membawa kepada penahanan beribu-ribu individu.
Kumpulan hak asasi manusia mengkritik pengharaman itu, dengan mendakwa ia bertujuan menyekat dan menjadikan perbezaan pendapat sebagai satu kesalahan jenayah.
Palestine Action menerusi laman web menjelaskan matlamat utamanya adalah untuk menamatkan ‘penglibatan global dalam rejim pembunuhan beramai-ramai dan aparteid Israel’.
Kumpulan itu mendapat perhatian lebih meluas selepas Israel melancarkan kempen ketenteraan besar-besaran di Gaza susulan serangan pada 7 Oktober 2023.
Sejak kembali memegang jawatan untuk penggal kedua, Presiden AS, Donald Trump mengeluarkan arahan agar kerajaan menetapkan kumpulan yang didakwa berhaluan kiri yang lebih ekstrem sebagai organisasi pengganas.
Selain Palestine Action, AS turut menamakan kumpulan Autistici/Inventati yang berpangkalan di Itali, juga dikenali sebagai A/I Collective, serta kumpulan pro-Palestin Masar Badil sebagai organisasi ‘pengganas’.
Dalam pada itu, pengasas bersama Palestine Action, Huda Ammori, mengecam ketetapan dibuat Britain dan AS.
Beliau berkata tindakan berkenaan sepatutnya menjadi peringatan kepada pihak yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan awam.
“Aktiviti Palestine Action di AS dan negara lain sentiasa atas tujuan menyelamatkan nyawa daripada operasi ketenteraan Israel di Gaza, yang melakukan pembunuhan beramai-ramai dengan sokongan kerajaan AS, ” tegas Ammori.
Pada April, Amnesty International mendakwa pemimpin AS, Israel dan Rusia berusaha membentuk susunan dunia baharu yang bersifat ‘menindas’ menerusi tindakan terhadap pihak yang mengkritik kerajaan. – AFP