
NEW YORK, 27 Ogos – Pemain Switzerland, Stan Wawrinka, menerima tiket ‘wildcard‘ pada saat-saat akhir untuk beraksi dalam Terbuka Amerika Syarikat (AS), minggu depan.
- USTA mengumumkan Wawrinka menggantikan Patrick Kypson yang menarik diri kerana kecederaan.
- Ketiadaan Wawrinka dalam senarai 'wildcard' asal mencetuskan perdebatan dan kritikan meluas, termasuk komen Andy Roddick.
- Wawrinka mengumumkan bakal bersara akhir musim, selepas membuka musim Grand Slam 2026 dengan dua kemenangan di Terbuka Australia.
- Mencatat ranking ke-127, beliau hampir layak berdasarkan ranking dan antara dua pemain era itu menang lebih satu gelaran Grand Slam.
Pengumuman itu dibuat penganjur pada Rabu, susulan kontroversi mengenai kegagalan pemain berusia 41 tahun itu dimasukkan dalam senarai ‘wildcard’ asal.
Persatuan Tenis Amerika Syarikat (USTA) memaklumkan Wawrinka, juara Grand Slam sebanyak tiga kali, akan menggantikan Patrick Kypson yang menarik diri akibat kecederaan.
“Saya amat teruja menerima ‘wildcard’ bagi Terbuka AS 2026 dan tidak sabar untuk kembali beraksi di hadapan peminat di New York, ” menurut Wawrinka dalam kenyataan USTA.
Ketiadaan Wawrinka dalam senarai ‘wildcard‘ asal menjadi perdebatan dalam kalangan komuniti tenis sejak USTA mengumumkan pilihannya minggu lalu.
Wawrinka yang sebelum ini mengumumkan akan bersara selepas musim ini, membuka kempen Grand Slam 2026 dengan baik apabila memenangi dua pusingan di Terbuka Australia sebelum tewas dalam empat set kepada pemain pilihan tuan rumah, Taylor Fritz.
Berada di ranking ke-127 dunia, Wawrinka juga tidak jauh daripada kedudukan yang melayakkannya menerima kemasukan secara merit ke Terbuka AS.
Malah, beliau merupakan satu-satunya pemain selain Andy Murray yang memenangi lebih daripada satu gelaran Grand Slam dalam era yang didominasi Roger Federer, Rafael Nadal dan Novak Djokovic.
Kegagalan Wawrinka menerima ‘wildcard‘ mencetuskan kritikan daripada pengulas dan bekas pemain, termasuk juara Terbuka AS 2003, Andy Roddick.
Ramai turut mempersoalkan sistem USTA dalam menentukan pemberian slot ‘wildcard‘ kepada pemain yang tidak layak berdasarkan ranking. – AFP