
PARIS, 27 Ogos – Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) mungkin menarik balik ancaman memboikot kejohanan anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas dua syarat yang dikemukakan kepada badan induk bola sepak dunia itu dipenuhi.
- Sumber mengesahkan jaminan yang diminta UEFA telah diterima, seterusnya memenuhi syarat kedua.
- Ancaman boikot dianggap faktor penting memaksa Infantino mengubah pendirian dan perlu diselesaikan segera.
- Sukar mengekalkan kesepakatan 55 anggota UEFA akibat Piala Dunia Wanita B-20 di Poland; risiko blok pembangkang berpecah.
- Seorang sumber mempersoalkan keberkesanan ancaman boikot, ia tidak cukup untuk memaksa Infantino berundur.
Perkara itu disahkan beberapa sumber kepada AFP pada Rabu.
Sumber pertama memaklumkan, jaminan yang diminta UEFA telah diterima dan sekali gus memenuhi syarat kedua daripada dua kriteria yang ditetapkan.
Sumber kedua pula memberitahu, ancaman boikot yang dilihat menjadi faktor penting dalam memaksa Presiden FIFA, Gianni Infantino mengubah pendirian itu perlu diselesaikan segera.
“Ini berikutan Kejohanan Piala Dunia Wanita Bawah 20 Tahun akan berlangsung di Poland dari 5 hingga 27 September.
“Agak sukar untuk mengekalkan pendirian sebulat suara dalam kalangan 55 anggota UEFA dalam keadaan berkenaan.
Malah, terdapat risiko sebenar blok yang menentang Infantino berpecah,” tambahnya.
Sementara itu, sumber ketiga mempersoalkan keberkesanan ancaman boikot berkenaan.
“Ancaman boikot yang dibuat sebelum ini tidak cukup untuk memaksa Infantino berundur,” katanya.
Mengulas kejohanan yang bakal berlangsung di Poland, sumber itu berkata, isu berkenaan bukan sekadar untuk menjaga kepentingan negara tuan rumah.
Sebaliknya, beberapa negara utama Eropah seperti Perancis, England dan Sepanyol juga sudah hampir mengesahkan penyertaan mereka.
Sebelum ini UEFA mengugut untuk memulaukan semua kejohanan anjuran FIFA susulan rancangan Infantino, menjual kepentingan dalam kejohanan FIFA, termasuk Piala Dunia, kepada pelabur swasta yang kemudiannya ditarik balik.
Infantino, 56, menerima desakan daripada pelbagai pihak agar meletak jawatan sebagai Presiden FIFA susulan rancangan berkenaan.
UEFA yang diketuai presidennya, Aleksander Ceferin, sebelum ini mengkritik hebat cadangan itu dan menyifatkannya sebagai “perjanjian sulit yang tidak jelas dan tidak telus.”
Walaupun Infantino menarik balik rancangan tersebut hanya beberapa hari selepas diumumkan, UEFA sebelum ini menegaskan pihaknya masih tidak berpuas hati.
Malah, ancaman untuk memboikot acara anjuran FIFA kekal sehingga dua syarat berkenaan dipenuhi.
Menurut UEFA, tuntutannya supaya rancangan berkenaan dibatalkan telah dipenuhi, namun badan induk bola sepak Eropah itu masih belum menerima jaminan bahawa usaha untuk “mencemar” bola sepak dengan cara sedemikian tidak akan berulang.
Namun, menjelang mesyuarat persatuan bola sepak UEFA di Monaco pada Khamis serta undian bagi saingan Liga Juara Eropah dan kejohanan kelab lain, UEFA dilihat berpuas hati bahawa syarat kedua itu telah diselesaikan dengan sewajarnya. – AFP