Gonzalez teruja mulakan fasa baharu bersama Newcastle

Foto AFP

LONDON, 27 Ogos – Nico Gonzalez bersedia menyertai projek baharu Newcastle United selepas meninggalkan Manchester City.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gonzalez menandatangani kontrak jangka panjang bersama Newcastle dengan nilai perpindahan sekitar £52 juta.
  • Beliau memuji suasana St James' Park dan teruja untuk beraksi di stadium itu sebagai pemain tuan rumah.
  • Pengurus Matthias Jaissle kata Gonzalez membawa kualiti tinggi, pengalaman elit dan keinginan kuat untuk berkembang.
  • Kehadirannya memperkuat bahagian tengah selepas Bruno Guimaraes dan Sandro Tonali berhijrah; beliau pemain ketujuh direkrut musim ini.

Pemain tengah Sepanyol berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak jangka panjang bersama Newcastle, dengan nilai perpindahan mencecah £52 juta pound, menurut laporan media Britain.

“Saya amat gembira menyertai kelab berkenaan dan teruja untuk memulakan kehidupan baharu di Newcastle, ” kata Gonzalez.

Beliau turut memuji suasana di St James’ Park yang disifatkannya hebat dan penuh semangat ketika beraksi di stadium itu sebanyak dua kali bersama City.

Kali ini, beliau mahu merasai sendiri pengalaman beraksi di stadium berkenaan sebagai pemain tuan rumah.

Bekas pemain bawah 21 tahun Sepanyol itu memulakan karier bersama juara La Liga, Barcelona, sebelum dipinjamkan ke Valencia dan kemudian menyertai kelab Portugal, Porto pada 2023.

Gonzalez berpindah ke Manchester City pada penghujung jendela perpindahan musim sejuk 2025 dengan nilai perpindahan dilaporkan mencecah £50 juta pound, sebelum membuat hampir 60 penampilan bersama kelab itu.

Pengendali Newcastle, Matthias Jaissle, berkata beliau gembira melihat Gonzalez kini menjadi sebahagian daripada skuad The Magpies.

“Dia membawa kualiti yang tinggi serta pengalaman di peringkat elit, khususnya di posisi penting dalam pasukan.

“Malah, dia juga merupakan pemain yang sudah terbukti berjaya dan pernah beraksi bersama beberapa kelab besar dalam liga utama Eropah, namun masih muda dan mempunyai keinginan tinggi untuk terus berkembang.

“Kehadiran pemain tengah itu merupakan tambahan yang amat baik buat skuad Newcastle, ” katanya lagi.

Gonzalez menjadi pemain ketujuh yang berjaya diikat Newcastle pada jendela perpindahan kali ini.

Sebelum ini, Newcastle turut mendapatkan khidmat pemain sayap, Bazoumana Toure, pemain tengah Belanda, Sean Steur dan pemain tengah Perancis, Aladji Bamba.

Kelab itu juga menandatangani pertahanan Bosnia, Amar Dedic serta dua penjaga gol, Lukas Hornicek dan Ewen Jaouen.

Kehadiran Gonzalez turut memberi suntikan kepada Jaissle selaku pengurus baharu Newcastle yang dilantik selepas Eddie Howe meletak jawatan.

Jaissle berdepan tugas memperkuat bahagian tengah pasukan selepas Bruno Guimaraes dan Sandro Tonali masing-masing meninggalkan Newcastle untuk menyertai Arsenal dan Tottenham.

Newcastle membuka kempen Liga Perdana Inggeris musim ini dengan keputusan seri 2-2 menentang Liverpool di laman sendiri hujung minggu lalu. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.