
MADRID, 27 Ogos – Kylian Mbappe melakukan hatrik untuk membantu Real Madrid menewaskan Real Sociedad, 4-1 dalam aksi La Liga di Santiago Bernabeu.
- Madrid meraih kemenangan kedua berturut-turut; Vinicius menjaringkan gol manakala Jude Bellingham menyumbang dua bantuan.
- Jurulatih Portugal, Mourinho, menurunkan kesebelasan sama; beliau berjaya menggabungkan tiga pemain utama dalam prestasi terbaik.
- Kapten Federico Valverde memuji aksi Mbappe sebagai amat menakjubkan dan menyeru pasukan menikmati serta memanfaatkan kehebatannya.
- Penjaga gol Remiro cemerlang menafikan percubaan; Madrid ubah pendekatan separuh masa kedua, dengan Bellingham memainkan peranan penting.
Kemenangan itu menyaksikan Madrid meraih kemenangan kedua berturut-turut dengan Vinicius Junior turut menjaringkan gol, manakala Jude Bellingham menyumbang dua bantuan gol.
Ketiga-tiga bintang berkenaan memainkan peranan penting ketika Madrid mengatasi cabaran pasukan pelawat dari wilayah Basque itu.
Jurulatih berpengalaman dari Portugal itu menurunkan kesebelasan sama ketika mencatat kemenangan 2-1 ke atas Espanyol pada perlawanan pertama sebagai pengendali Madrid, Sabtu lalu.
Mourinho sebelum ini mengakui bukan mudah untuk memastikan tiga pemain utama pasukan itu berada dalam kesebelasan yang sama dan pada tahap terbaik, namun kemenangan tersebut menunjukkan beliau berada di landasan yang tepat.
Kapten pasukan, Federico Valverde turut memuji aksi cemelang Mbappe selepas penyerang Perancis itu meledak hatrik.
“Amat menakjubkan dan luar biasa memiliki Mbappe. Kami perlu menikmatinya dan memanfaatkannya sebaik mungkin,” kata Valverde kepada Real Madrid TV.
Kedua-dua pasukan memulakan perlawanan dengan aksi terbuka, dengan Vinicius Junior melepaskan rembatan tersasar, manakala penjaga gol Sociedad, Alex Remiro menafikan percubaan Mbappe.
Di gawang Madrid, Thibaut Courtois turut dipaksa bekerja keras apabila menyelamatkan percubaan Mikel Oyarzabal.
Remiro sekali lagi cemerlang menafikan percubaan Vinicius selepas Mbappe membuka ruang buat pemain Brazil itu, sebelum Sergio Gomez melepaskan rembatan voli yang tersasar tipis.
Lima minit sebelum rehat, Madrid akhirnya memecah kebuntuan apabila Valverde melorongkan bola kepada Mbappe.
Penyerang Perancis itu bijak melepasi kawalan pertahanan sebelum melepaskan rembatan tepat ke penjuru atas gawang untuk membuka akaun golnya musim ini.
Namun, Madrid gagal mengekalkan kelebihan sehingga tamat separuh masa apabila Sociedad, juara Copa del Rey musim lalu, menyamakan kedudukan.
Kesilapan Job Ochieng yang terlalu lama mengawal bola menyaksikan percubaannya disekat, tetapi bola muntah terus kepada Luka Sucic yang menyudahkannya dengan bantuan sedikit lencongan daripada Alvaro Carreras.
Memasuki separuh masa kedua, Valverde berkata, Madrid mengubah pendekatan dan ia membuahkan hasil.
Arda Guler kemudian melorongkan bola kepada Mbappe, namun percubaannya pada awal separuh masa kedua berjaya diselamatkan Remiro.
Namun, penjaga gol Sociedad itu tidak mampu menghalang percubaan seterusnya Mbappe apabila penyerang itu menerima hantaran daripada Bellingham selepas gerakan awal yang dimulakan Valverde.
Madrid terus melebarkan kelebihan menerusi Vinicius yang sebelum itu kurang menyerlah, hasil usaha gigih Bellingham.
Percubaan pemain England itu disekat, namun beliau terus mengejar bola, merampasnya semula di dalam kotak penalti Sociedad sebelum menyediakan peluang mudah untuk Vinicius menyumbat gol ketiga Madrid.
Gol itu menyuntik semangat Vinicius yang kemudian menghasilkan hantaran tepat kepada Mbappe untuk melengkapkan hatrik menerusi penyudah lambung melepasi Remiro.
Musim lalu menyaksikan prestasi Madrid mula merosot selepas Vinicius menunjukkan rasa tidak puas hati apabila digantikan Xabi Alonso dalam aksi kemenangan Clasico ke atas Barcelona pada Oktober. – AFP