Piala Liga Inggeris: Spurs jumpa Liverpool di pusingan ketiga

Foto AFP

LONDON, 27 OgosSavio menjaringkan gol pada penampilan sulungnya bersama Tottenham Hotspur ketika Spurs mara ke pusingan ketiga Piala Liga Inggeris selepas membelasah Charlton, 5-1 pada Rabu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tottenham bangkit selepas kekalahan memalukan 0-3 kepada Brentford hujung minggu lalu.
  • Mikey Moore dan Dominic Solanke menjaringkan dua gol dalam empat minit pada penghujung separuh masa pertama.
  • Kevin Danso masuk dan menanduk gol pada minit ke-67, hasil sentuhan pertamanya selepas dimasukkan.
  • Keputusan lain: Newcastle menang 3-2 dengan Barnes dua gol; Everton menewaskan Preston 4-0 dengan hatrik Thierno Barry.

Tottenham, juara Piala Liga sebanyak empat kali, bangkit daripada kekalahan memalukan 0-3 kepada Brentford dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu lalu.

Beraksi di Stadium Tottenham Hotspur, tuan rumah menguasai permainan selepas Mikey Moore dan Dominic Solanke menjaringkan dua gol dalam tempoh empat minit pada penghujung separuh masa pertama.

Pemain gantian Kevin Danso kemudian menambah gol ketiga pada minit ke-67 menerusi tandukan lencong hasil sepakan percuma, pada sentuhan pertamanya selepas dimasukkan.

Savio, pemain sayap Brazil yang menyertai Tottenham dengan nilai perpindahan awal dilaporkan £75 juta pound (AS$102 juta), masuk pada minit ke-71.

Pemain yang pernah dikenali sebagai Savinho itu kemudian membuktikan nilainya apabila melakukan larian ke dalam sebelum melepasi dua pertahanan dan melepaskan rembatan tepat ke penjuru dekat untuk gol keempat Spurs.

Tiga minit kemudian, percubaan Savio terkena paha kapten Tottenham, Ben Davies, sebelum bola menerjah gawang bagi melengkapkan kemenangan, 5-1.

Tottenham seterusnya akan berdepan ujian getir menentang Liverpool pada pusingan ketiga.

Dalam aksi lain, Harvey Barnes menjaringkan dua gol ketika menentang bekas kelabnya bagi membantu Newcastle United menewaskan West Bromwich Albion, 3-2, sekali gus mengelak Newcastle daripada tersingkir daripada Piala Liga Inggeris.

Isaac Price meletakkan West Brom di depan menerusi sepakan percuma, namun Newcastle bangkit menerusi pemain yang membuat penampilan sulung, Bazoumana Toure dan Barnes yang masuk sebagai pemain gantian.

Price kemudian menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti pada minit ke-77, sebelum Barnes menjaringkan gol kemenangan empat minit kemudian untuk memastikan Newcastle kekal dalam saingan.

Newcastle, yang menamatkan penantian selama beberapa dekad untuk menjulang trofi utama selepas memenangi Piala Liga 2025, akan bertandang ke gelanggang kelab Liga Kejuaraan, Millwall, pada pusingan ketiga.

Sementara itu, satu lagi kelab EPL, Everton menundukkan Preston, 4-0 di tempat lawan.

Penyerang Perancis, Thierno Barry mencipta hatrik pertamanya bersama Everton selain memberikan bantuan gol untuk pemain baharu, Brennan Johnson, menjaringkan gol pertamanya dalam 35 perlawanan.

Everton akan menentang Wolves di laman sendiri pada pusingan ketiga.

Dalam satu lagi aksi, pendahulu League One, Bradford City, menewaskan Burnley, 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di Valley Parade.

Tiada masa tambahan pada peringkat saingan kali ini.

Perlawanan pusingan ketiga dijadual berlangsung pada minggu bermula 7 September dan 14 September. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.