
PASIR MAS, 26 Ogos – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima permintaan daripada pihak polis dan tentera Thailand bagi membantu mengesan pergerakan individu atau ejen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan Barisan Revolusi Nasional (BRN).
- PDRM akan menjalankan siasatan terperinci dan mengumpul maklumat untuk membantu pihak berkuasa Thailand menyelesaikan isu keselamatan.
- Kawalan sempadan Kelantan diperketat dengan penambahan anggota serta penggunaan dron dan peralatan canggih bagi mengelakkan ketirisan.
- PDRM turut memfokuskan membanteras penyeludupan dan PATI; rakyat dinasihatkan berwaspada jika menuju Thailand.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, langkah itu diambil susulan siri kejadian letupan serta ketegangan keselamatan yang dilaporkan berlaku di tiga wilayah Selatan Thailand sejak Sabtu lepas.
PDRM juga akan menjalankan siasatan terperinci serta mengumpul maklumat lanjut bagi membantu pihak berkuasa Thailand menyelesaikan isu keselamatan berkenaan.
“Kita akan menjalankan siasatan dan mendapatkan maklumat lanjut bagi membantu pihak Thailand menyelesaikan isu berkenaan.
“Perkara ini sememangnya telah kita terima sejak dahulu lagi dan kita akan terus mengambil tindakan dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pengkalan Haram Lubok Gong, Rantau Panjang, di sini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.
Tan Sri Mohd Khalid menjelaskan perkembangan di Selatan Thailand mendapat perhatian serius memandangkan sebarang insiden ketidaktenteraman di kawasan berkenaan berpotensi mendatangkan kemudaratan kepada Malaysia.
Bagi mengelakkan sebarang ketirisan, kawalan di sepanjang sempadan khususnya di Kelantan telah diperketat menerusi penambahan keanggotaan serta penggunaan teknologi moden seperti dron dan peralatan canggih.
Langkah tersebut turut difokuskan bagi membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan merangkumi penyeludupan barangan keperluan harian dan pendatang tanpa izin (PATI).
Dalam pada itu, Tan Sri Mohd Khalid menasihati rakyat Malaysia yang berhasrat untuk melakukan perjalanan ke Thailand agar sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan diri bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.