
SHAH ALAM, 26 Ogos – Kerajaan Negeri Selangor menggalakkan majikan sektor swasta di negeri ini turut memberikan cuti kepada pekerja masing-masing pada 1 September ini sempena kejayaan Kontinjen Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
- Cuti peristiwa khas boleh diisytiharkan mengikut Subseksyen 9(1), Akta Hari Kelepasan 1951, memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri.
- Cuti tersebut terpakai kepada semua penjawat awam Persekutuan dan Negeri yang berkhidmat di Selangor.
- Pemberian cuti bagi sektor swasta tertakluk kepada pertimbangan majikan mengikut keperluan operasi dan kelangsungan perkhidmatan serta perniagaan.
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata, langkah itu adalah sebagai tanda penghargaan dan kebersamaan seluruh rakyat susulan pencapaian membanggakan kontinjen negeri pada temasya berkenaan.
“Pelaksanaan cuti peristiwa khas ini tertakluk kepada peruntukan Subseksyen 9(1), Akta Hari Kelepasan 1951 (Akta 369) yang memberi kuasa kepada pihak berkuasa negeri mengisytiharkan mana-mana hari sebagai hari kelepasan am (cuti peristiwa/tambahan) bagi negeri tersebut.
“Kemenangan ini juga diharapkan dapat menyemarakkan lagi budaya sukan serta menjadi inspirasi kepada rakyat Selangor untuk bergiat aktif dalam sukan dan mengejar kecemerlangan sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Menurutnya, Cuti Peristiwa Khas berkenaan terpakai kepada semua penjawat awam Persekutuan dan Negeri yang berkhidmat di Selangor.
Bagaimanapun, beliau berkata pemberian cuti berkenaan tertakluk kepada pertimbangan setiap majikan dengan mengambil kira keperluan operasi serta kelangsungan perkhidmatan dan perniagaan.
Kontinjen Selangor mencatat pencapaian cemerlang pada SUKMA 2026 selepas mengumpul 101 pingat emas, 62 perak dan 79 gangsa.
Pencapaian itu sekali gus mengangkat Selangor sebagai juara keseluruhan SUKMA Selangor 2026.