
SHAH ALAM, 26 Ogos – Selangor akan meneliti perkembangan jerebu di negeri ini serta tindakan sewajarnya yang perlu diambil menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Bencana Selangor yang dijadual diadakan esok.
- Fenomena jerebu belum di tahap kritikal, namun beberapa kawasan merekodkan kualiti udara pada paras tidak sihat.
- Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengetuai Jawatankuasa Bencana untuk menilai keadaan jerebu secara lebih terperinci.
- Kerajaan negeri akan mengeluarkan maklumat dan arahan terkini khusus kepada rakyat Selangor.
- Lima kawasan rekod kualiti udara tidak sihat: Johan Setia, Shah Alam, Banting, Klang dan Petaling Jaya.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata meskipun fenomena jerebu ketika ini belum di tahap kritikal, namun kualiti udara di beberapa kawasan menunjukkan pada paras tidak sihat sejak beberapa hari lalu.
“Tadi kita ada berbincang mengenai mesyuarat keadaan jerebu di Selangor. Esok, Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengetuai Jawatankuasa Bencana untuk melihat secara lebih terperinci perkara yang berlaku dan keadaan jerebu ini.
“Selain itu, kita akan mengeluarkan maklumat dan arahan terkini khusus kepada rakyat negeri Selangor. Kita nak pertimbangkan tindakan yang boleh diambil dan situasi mana yang boleh kita bertindak sebaiknya,” katanya.
Lima kawasan di Selangor merekodkan kualiti udara pada paras tidak sihat iaitu Johan Setia, Shah Alam, Banting, Klang dan Petaling Jaya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan insentif haji muassasah bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Dengkil di sini.