Kualiti udara di beberapa kawasan seluruh negara terus merosot

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 Ogos Kualiti udara di beberapa kawasan di negara ini terus merosot apabila tujuh kawasan merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat pukul 11 pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bacaan IPU tertinggi direkod di IPD Serian (190), Kuching (180), Sri Aman (176) dan Samarahan (173).
  • Asap jerebu dari pelbagai arah disumbangkan oleh 406 titik panas di Kalimantan, 174 di Sumatera dan lapan di dalam negara.
  • Aktiviti luar dihentikan apabila IPU melebihi 100; sekolah ditutup melebihi 200; denda besar dikenakan untuk pembakaran terbuka.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan memaklumkan, bacaan tertinggi direkodkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak dengan IPU 190, diikuti Kuching (180), Sri Aman (176) dan Samarahan 173.

“Turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Johan Setia, Selangor dengan IPU 158, Sungai Petani, Kedah 151 dan Taiping, Perak 109.

“Dalam pada itu, 61 kawasan lain merekodkan bacaan IPU pada tahap sederhana,” menurut kenyataan itu hari ini.

Peningkatan kawasan yang mencatatkan bacaan tidak sihat itu antaranya disebabkan pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah.

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre, ASMC pada 22 Ogos lalu, sebanyak 406 titik panas dikesan di Kalimantan, 174 di Sumatera dan lapan titik panas di dalam negara.

“Daripada jumlah itu, lima kawasan berisiko dikesan di Sarawak, manakala masing-masing satu di Kelantan, Pahang dan Terengganu,” tambah kenyataan itu.

Peta Jerebu Serantau ASMC bertarikh 23 Ogos pula menunjukkan keadaan cuaca kering berlaku di kebanyakan kawasan di rantau ASEAN selatan, kecuali hujan terutama di bahagian timur laut Borneo dan utara Semenanjung Malaysia.

Pada masa sama, jerebu asap sederhana turut diperhatikan di bahagian barat dan selatan Borneo, manakala kepulan asap sederhana hingga padat dikesan di bahagian tengah dan selatan Sumatera.

Sehubungan itu, JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan rondaan harian di kawasan yang berpotensi berlaku pembakaran terbuka, selain memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa.

Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan turut diaktifkan bagi menyelaras tindakan semua agensi kerajaan dalam menangani pembakaran terbuka dan situasi jerebu.

Mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri atau pusat sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

Manakala, aktiviti di luar bilik darjah pula perlu dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100, manakala sekolah, tadika dan taska akan ditutup serta-merta apabila bacaan melebihi 200.

Operasi Pembenihan Awan juga boleh dilaksanakan, tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai, sekiranya bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.

Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan memastikan kawasan milik mereka tidak dicerobohi sehingga menyebabkan kebakaran.

Menerusi Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1 juta, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Sebarang aktiviti pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerusi talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727. Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk menerusi laman sesawang JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.