
KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Sebarang kerjasama mana-mana parti politik dengan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya akan ditentukan di peringkat BN Melaka dan pusat.
- Keputusan kerjasama akan diputuskan oleh Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan dimuktamadkan oleh kepimpinan BN Melaka serta pusat.
- BN akan lakukan kajian terperinci kerana sentimen akar umbi bercampur-campur sebelum membuat sebarang keputusan kerjasama.
- Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup WITEX 2026 dan Festival Kebudayaan dan Kesenian Dunia 2026 di ibu negara.
- Amirudin akan bertemu Anwar untuk memperhalusi keperluan kerjasama sebelum tindakan lanjut termasuk rundingan dengan Datuk Seri Ab Rauf.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, apa jua keputusan perlu dilakukan dengan kajian terperinci.
“Itu akan diputuskan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan keputusan itu akan dimuktamadkan kepimpinan BN Melaka dan pusat.
“Sentimen akar umbi bercampur-campur, jadi kita lakukan kajian terperinci. Jangan masuk ke lubuk di mana keli tidak boleh hidup ataupun ikan sepat tinggal tulang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ekspo Perdagangan dan Pelancongan Islam Sedunia (WITEX) 2026 dan Festival Kebudayaan dan Kesenian Dunia (WCAF) 2026 di ibu negara hari ini.
Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari memaklumkan akan bertemu dengan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan kemungkinan kerjasama antara gabungan itu dengan BN pada PRN Melaka.
Menurut Datuk Seri Amirudin, perbincangan itu akan memperhalusi keperluan kerjasama tersebut sebelum sebarang tindakan lanjut diambil termasuk rundingan dengan Datuk Seri Ab Rauf.